Asrol Awang
am@hmetro.com.my


Kuantan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bagi membantu melengkapkan kes kematian pegawai bomba, Mohd Diya Che Jusoh pada 21 Oktober lalu.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, lima ahli jawatankuasa berkenaan membabitkan empat individu daripada JBPM dan seorang pakar perubatan.

Katanya, selain itu, jawatankuasa siasatan itu juga akan memperhalusi termasuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) ketika operasi menyelamat.

"Siasatan ini lebih menumpukan kepada kaedah pengurusan keseluruhan operasi dan rawatan segera kepada mangsa ketika kejadian terbabit.

"Jika ada yang perlu ditambah baik dan diperkukuhkan, kita akan melaksanakannya terutama dari segi SOP operasi menyelamat ketika menghadapi banjir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup Kursus Asas Pertauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) JBPM Pahang Siri 1/2021 di Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

MOHD Diya yang meninggal dunia selepas lemas ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Melaka. FOTO Ihsan FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
MOHD Diya yang meninggal dunia selepas lemas ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Melaka. FOTO Ihsan FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Pada majlis itu, seramai 29 anggota PBB menjalani latihan selama 10 hari yang memberi fokus berkaitan dengan tugas kebombaan dan penyelamatan.

Beliau diminta mengulas mengenai kematian Mohd Diya, 46, selepas Allahyarham tidak sedarkan diri apabila dibawa arus deras ketika membantu mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Melaka pada 4 petang, 20 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada 3,11 pagi, pada 21 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 1:12 PM