Omar Ahmad


Kota Tinggi: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjangkakan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang khas Dewan Rakyat, Isnin ini, tidak berdepan masalah.

Katanya, percaya kesemua ahli parlimen tanpa mengira parti politik akan bertindak secara rasional.

"Ahli-ahli parlimen akan bertindak rasional dan boleh bersetuju terhadap usul undi dibentangkan kelak memandangkan tiada parti politik yang mempunyai majoriti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Sudah pasti, yang terbaik adalah saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah iaitu kerajaan Perpaduan," katanya pada sidang media selepas majlis kesyukuran sempena kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 di Perkarangan Masjid An Nur Felda Simpang Waha di sini, hari ini.

Mohamad Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, negara memerlukan kerajaan yang stabil untuk membawa negara di landasan yang disegani dan memainkan peranan dalam membantu rakyat.

"Sudah tentulah setiap parti mempunyai perbezaan matlamat, hala tuju dan ideologi, jadi lebih elok kita bincang awal dan setuju mengenai perkara yang boleh dipersetujui, jadi itu semua nanti terkandung dalam perjanjian yang ada itu.

"Saya percaya masyarakat sudah penat dengan politik, kita ini perlu mempunyai kerajaan, sudah sampai masa untuk mengurus, mentadbir negara. Saya percaya rakyat di bawah dalam keadaan yang mengalami kesusahan dan cabaran yang banyak.

"Kalau kita mempunyai sebuah kerajaan mantap, saya pasti banyak perkara yang kita boleh lakukan, bukan sahaja membantu rakyat tetapi meletakkan Malaysia di landasan betul, disegani dan memainkan peranan yang sewajarnya," katanya.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.

Anwar, pada sidang pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu, menegaskan akan membentangkan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

MOHAMED Khaled ketika ditemui media selepas solat Jumaat dan Majlis Kesyukuran sempena kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
MOHAMED Khaled ketika ditemui media selepas solat Jumaat dan Majlis Kesyukuran sempena kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 4:44 PM