LOKMAN memeriksa kenderaan awam pada penguatkuasaan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu secara berterusan di Plaza Tol Awan Besar. FOTO Genes Gulitah.
LOKMAN memeriksa kenderaan awam pada penguatkuasaan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu secara berterusan di Plaza Tol Awan Besar. FOTO Genes Gulitah.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Beri alasan lupa dan tidak sempat perbaharui lesen dan cukai jalan. Itu alasan sering diberikan pengguna jalan raya apabila ditahan pihak berkuasa.

Perkara itu didedahkan Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan yang memberitahu alasan itu paling kerap diberikan pemandu selepas pemeriksaan mendapati mereka tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Menurutnya, sikap pemandu terbabit perlu diubah kerana sebarang kejadian tidak diingini sekiranya terbabit dalam kemalangan akan menyusahkan diri sendiri.

"Dalam operasi malam ini (tadi) setakat 10 malam, sebanyak 796 kenderaan diperiksa terdiri daripada 432 kereta dan 187 motosikal dan selebihnya kenderaan berat sebanyak 53, lori pula adalah 110 dan bas, 15 buah.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 243 kenderaan diambil tindakan dan dikenakan 457 notis serta saman dengan 142 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu serta lesen memandu tamat tempoh," katanya pada sidang media dalam Operasi Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar (Timur) Lebuhraya Shah Alam menghala ke Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Razali Mohamad dan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya.

Lokman berkata, sebanyak 123 saman pula dikeluarkan atas kesalahan tiada cukai jalan dan cukai jalan tamat, manakala 29 saman atas kesalahan tiada lesen memandu vokasional (GDL) dan GDL tamat tempoh.

"Kesalahan lain dikenakan notis dan saman adalah lebih muatan (10), lampu HID (12), tayar celup atau botak (lapan), cermin gelap (27), kesalahan teknikal kenderaan (69) dan lain-lain kesalahan (37).

"Menerusi operasi ini juga, kita menyita sembilan kenderaan terdiri daripada tiga lori kontena dan enam motosikal yang didapati tidak layak untuk berada di atas jalan raya," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Selangor yang turut sama dalam operasi ini menahan 11 warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah membabitkan lima warga Myanmar dan enam Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 12:26 AM