PENOLONG Pengarah Penguatkuasa JPJ Kedah, Mohd Jalil Mat Lazim (kiri) memeriksa motosikal disita selepas penunggangnya melarikan diri ketika diperiksa dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Jitra, Jitra, malam tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
PENOLONG Pengarah Penguatkuasa JPJ Kedah, Mohd Jalil Mat Lazim (kiri) memeriksa motosikal disita selepas penunggangnya melarikan diri ketika diperiksa dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Jitra, Jitra, malam tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


DUA sahabat yang dalam perjalanan pulang ke Pahang tergamam selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan di Plaza Tol Jitra, Jitra, malam tadi.

Dalam operasi 8.30 malam itu, kenderaan dipandu lelaki berusia 27 tahun dan rakannya berusia 20-an itu didapati tidak mempunyai cukai jalan dan insuran sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu dan mendakwa kenderaan terbabit dipinjam daripada bapa saudaranya.

Berikutan itu, anggota JPJ terpaksa menyita pikap terbabit bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dilakukan selain saman turut dikeluarkan ke atas pemandu kerana memandu tanpa lesen.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff, berkata sebanyak 319 kenderaan diperiksa dan 106 notis dikeluarkan dalam operasi berakhir 11 malam itu.

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua motosikal disita selepas pemeriksaan mendapati cukai jalannya tamat tempoh.

“Kami turut mengeluarkan 25 notis untuk cukai jalan tamat tempoh, 29 notis tiada insuran dan enam kes bagi muatan bahaya,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 4:00 PM