BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu tuntutan Pulau Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.

Ini supaya tidak timbul sebarang masalah berhubung isu hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

"Saya minta Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) bagi penjelasan tentang kontroversi tuntutan Pulau Batu Puteh yang sekarang telah dipindahkan ke Singapura oleh ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) dan beberapa kesan sampingan.

"Saya minta (perkara) itu diteliti supaya ada rundingan lebih bermakna dengan Singapura," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan dilaporkan berkata jemaah menteri bersetuju Malaysia meneruskan tindakan perundangan di ICJ berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Keputusan itu dicapai selepas mendengar laporan pembentangan dan cadangan daripada Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 7 Oktober lalu.

Selain itu, Anwar berkata mesyuarat Kabinet hari ini juga membincangkan beberapa hal tertangguh termasuk laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Beliau berkata, ahli jawatankuasa RCI, bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Raus Sharif memberi taklimat dan perbincangan akan disambung Januari ini berhubung perkara berkait dengan apa yang berlaku di Tabung Haji serta cadangan memperbaiki pengurusan institusi kewangan Islam itu.

RCI ditubuhkan pada Julai tahun lalu di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.

Penubuhan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

Anwar Ibrahim mahu isu tuntutan Pulau Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.
Anwar Ibrahim mahu isu tuntutan Pulau Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 3:50 PM