NAIB Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail (kanan) beramah mesra dengan  Selwa Raw (kiri) dan Tan selepas Upacara Konvokesyen USM Ke-57 di Dewan Tuanku Syed Putra.
NAIB Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail (kanan) beramah mesra dengan Selwa Raw (kiri) dan Tan selepas Upacara Konvokesyen USM Ke-57 di Dewan Tuanku Syed Putra.
BERNAMA

DUA graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga perintis program dwi ijazah masing-masing menerima dua ijazah serentak pada majlis Konvokesyen USM Ke-57 di sini, semalam.

Pada majlis itu, D Selwa Raw, 24, dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Sarjana Muda Sains manakala Tan Aik Sian, 23, dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sarjana Muda Pengurusan.

Program dwi ijazah itu ditawarkan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) kepada penuntut sepenuh masa tahun dua dan ke atas USM yang mana pengambilan kohort pertama dibuat pada sidang akademik 2016/2017.

Selwa Raw ketika ditemui selepas konvokesyen itu berkata, dia mengikuti program utama iaitu Sarjana Muda Komunikasi pengkhususan dalam Filem dan Penyiaran sebelum turut mengambil program dwi ijazah PPPJJ bagi pengajian Sarjana Muda Sains dalam bidang Biologi.

“Saya memang pelajar Sains, namun dalam masa yang sama meminati bidang komunikasi dan mendapat tawaran ke USM dalam bidang komunikasi.

“Saya terima kursus ini walaupun dalam hati memberontak mahu sambung dalam bidang Sains.

“Ketika di tahun dua di USM saya pernah cuba untuk menukar kursus Sains, namun selepas dimaklumkan PPPJJ ada program dwi ijazah, saya pilih untuk mengambil kursus Sarjana Muda Sains Biologi sebagai ijazah kedua saya,” katanya kepada Bernama.

Selwa Raw berkata, sepanjang empat tahun mengikuti pengajian bagi menghabiskan dua ijazah itu, dia tidak bercuti semester kerana perlu mengikuti kelas.

Pada masa sama, katanya, dia perlu bekerja bagi menampung kos pelajarannya.

Menurutnya, walaupun pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu dihadapinya, namun dia gembira serta berpuas hati apabila berjaya menamatkan dua kursus berkenaan dan menghadiahkannya kepada ibu bapanya.

“Sepanjang mengikuti dua ijazah itu, ibu bapa saya tidak pernah tahu. Saya memang sengaja tidak mahu beritahu kerana bimbang mereka akan susah hati.

“Hari ini, sempena konvokesyen baru saya maklumkan kepada mereka sebagai kejutan,” katanya.

Selwa Raw yang berasal dari Kluang, Johor berkata, dia akan bekerja dalam tempoh setahun sebelum menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang Sains Forensik.

Sementara itu, Tan berkata, dia mengambil jurusan Sarjana Muda Sains dalam bidang Kimia manakala bagi program dwi Ijazah pula Sarjana Muda Pengurusan pengkhususan dalam organisasi.

“Saya cabar diri untuk mendapatkan dua ijazah serentak dan akhirnya saya berjaya mendapatkannya walaupun perlu membahagikan masa.

“Memang tiada masa untuk diri sendiri kerana sepanjang empat tahun perlu fokus dalam pelajaran,” katanya.

Tan berkata, dia bersyukur kerana keluarga sentiasa memberikan dorongan dan semangat untuknya menghabiskan kedua-dua ijazah itu dalam tempoh empat tahun.

Beliau yang bercita-cita mahu menjadi pensyarah berkata ketika ini dia sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana, seterusnya berhasrat menyambung peringkat doktor falsafah pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:15 AM