Anggota bomba menyelamatkan seorang pemancing lelaki berusia 34 tahun yang terkandas selama 17 jam akibat kejadian kepala air di Sungai Balak sejak semalam. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba menyelamatkan seorang pemancing lelaki berusia 34 tahun yang terkandas selama 17 jam akibat kejadian kepala air di Sungai Balak sejak semalam. FOTO IHSAN BOMBA
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Perjalanan pulang seorang lelaki sebaik selesai aktiviti memancing ikan terbantut apabila dia

terperangkap selama 17 jam akibat kejadian kepala air.

Mangsa berusia 34 tahun dikatakan terperangkap berhampiran Sungai Balak, Batang kali di sini, sejak jam 3 petang semalam.

Difahamkan fenomena kepala air yang berlaku di sekitar kawasan berkenaan menyebabkan mangsa terkandas di seberang sungai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.29 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba kemudian menjalankan operasi menyelamatkan mangsa yang mengambil masa kira-kira satu jam," katanya.

Norazam berkata, mangsa yang berasal Serendah tidak mengalami sebarang kecederaan dan memaklumkan dia memancing seorang diri.

"Operasi menyelamatkan mangsa ditamatkan sepenuhnya jam 9.45 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 3:27 PM