ANGGOTA bomba mengeluarkan besi yang terpacak di punggung seorang lelaki. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan besi yang terpacak di punggung seorang lelaki. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


LELAKI berusia lingkungan 40-an terpaksa menahan sakit lebih sejam selepas besi yang terpacak di bot tertusuk di punggungnya ketika ingin menaiki bot untuk memancing di Sungai Perak di Kuala Kangsar, malam tadi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Kuala Kangsar jam 8.15 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke hospital berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota tiba di hospital berkenaan mendapati terdapat besi yang tertusuk di punggung seorang lelaki berusia 40-an.

Katanya, lelaki berkenaan tertusuk besi ketika cuba menaiki bot untuk memancing dan dibawa ke hospital berkenaan selepas besi berkenaan gagal dikeluarkan.

“Bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk memotong besi berkenaan yang dianggarkan sepanjang 0.6 meter.

“Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa dipindahkan ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan jam 8.29 malam selepas mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memotong besi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 3:39 PM