WAN Zahari Wan Othman (tengah) hadir menyerahkan katil wakaf dan lampin pakai buang untuk kegunaan Che Rozila. FOTO Siti Rohana Idris
WAN Zahari Wan Othman (tengah) hadir menyerahkan katil wakaf dan lampin pakai buang untuk kegunaan Che Rozila. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Tumpat: Kehidupan 10 beranak boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan sahaja hidup dalam kemiskinan, malah kini diuji pula dengan kesakitan.

Jika sebelum ini Che Rozila Azliza Mat Ali, 38, bekerja membersihkan rumah orang untuk menyara hidup selain meringankan beban suami, tetapi keadaan kini berbeza apabila dia diserang strok sejak hampir sebulan lalu.

Lebih mendesak, suaminya, Mustapa Mohd Yusof, 46, juga tidak boleh bekerja kerana perlu menguruskan Che Rozila yang lumpuh sebelah kiri badannya.

Mustapa berkata, kehidupan mereka sebelum ini ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' kerana dengan upah bekerja kampung tidak seberapa untuk menyara hidup tiga anaknya serta lima anak tiri yang turut dipeliharanya.

"Jika sebelum ini isteri juga bekerja untuk meringankan beban saya, tapi kini bukan sahaja dia terlantar tapi saya juga tidak dapat keluar bekerja kerana perlu menguruskannya.

"Anak (tiri) sulung mengalami masalah pembelajaran manakala anak kedua pula memiliki berat badan yang melampau menyebabkan kedua-duanya tidak dapat bekerja.

"Buat masa kini, kami bergantung sepenuhnya kepada anak ketiga yang bekerja kampung dan agak sukar untuk kelangsungan hidup kerana keluarga kami besar ditambah lima lagi anak masih bersekolah.

"Saya perlu menguruskan isteri dengan dibantu anak kerana dia perlu diangkat sama ada untuk mandi atau membuang air disebabkan tidak mampu untuk membeli lampin pakai buang," katanya.

Mustapa berkata demikian selepas menerima kunjungan aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman di rumahnya di Kampung Kedemit, Wakaf Bharu, di sini.

Dalam kunjungan itu, Wan Zahari menyerahkan katil wakaf dan lampin pakai buang, selain sumbangan zakat serta makanan keperluan.

Mustapa berkata, isterinya menerima rawatan selama lapan hari di hospital selepas diserang strok, malah bil rawatan berjumlah RM60 juga belum dilunaskan berikutan kekangan kewangan.

Menurutnya, mereka juga masih 'berhutang' bayaran untuk kerusi roda terpakai yang sedang digunakan isterinya yang dibeli daripada seorang individu dengan harga RM300.

"Kami juga baru saja mendiami rumah baharu ini sejak dua bulan lalu disebabkan perlu keluar dari rumah sewa kerana mempunyai tunggakan beberapa bulan.

"Rumah ini belum siap sepenuhnya kerana pembinaannya adalah hasil ihsan orang ramai yang memberi sumbangan sama ada dalam bentuk bahan mentah atau menghantar tukang rumah untuk membina sedikit demi sedikit.

"Setakat ini hasil bantuan orang ramai mampu meneduhkan kami sekeluarga walaupun rumah ini separuh siap, tapi Alhamdulillah, kalau ada rezeki suatu hari nanti, rumah ini pasti akan kami siapkan sepenuhnya," katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh membantu bagi meringankan beban keluarga ini dengan menghubungi Mustapa di talian 01160577259.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 2:55 PM