MUSTAPA (enam dari kiri) bersama menteri ekonomi ASEAN pada perasmian AEM, semalam.
MUSTAPA (enam dari kiri) bersama menteri ekonomi ASEAN pada perasmian AEM, semalam.

Kuala Lumpur: ASEAN tidak boleh menangani masalah era digital menggunakan minda analog, terutama dalam ekonomi yang kini berubah pantas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Kita menyedari sepenuhnya persekitaran ekonomi sudah berubah. Anjakan tektonik ini berlaku dalam ruang masa yang lebih pantas daripada biasa. Pendeknya, kita perlu ubah minda,” katanya pada perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-47 dan beberapa mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Mustapa berkata, senario semasa kini berbeza berbanding persekitaran ekonomi dan politik beberapa bulan lalu.

“Anggota ASEAN kini mesti menyegerakan penggunaan teknologi maklumat (IT) bagi melancarkan perdagangan dan pelaburan sesama anggota ASEAN serta menyediakan platform berasaskan elektronik untuk sektor swasta menjalankan perniagaan di rantau ini, termasuk menangani aduan perdagangan.

“Satu lagi cabaran digital yang kita hadapi ialah dalam mengurus persepsi dan realiti, dengan isu kompleks sering dibahaskan dalam Twitter dalam 140 aksara atau kurang.

“Hari dan era kini, persepsi sering menenggelamkan realiti. Inilah cabaran yang ASEAN perlu tangani secara lebih berkesan,” katanya.

Mustapa berkata, pada masa ini beberapa ekonomi di ASEAN terjejas akibat penurunan pengeluaran hasil pertanian, pengurangan eksport, turun naik mata wang serta peningkatan inflasi dan pertumbuhan yang perlahan.

Meskipun berhadapan dengan cabaran ini, Mustapa berkata, negara anggota ASEAN komited sepenuhnya untuk meneruskan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

“Situasi ekonomi dan politik dunia berubah dalam masa singkat sejak beberapa bulan lalu ketika kita merancang pelancarannya (AEC). Namun, seperti parafrasa Dickens, kini kita hidup ‘pada masa terbaik, dan juga masa terburuk,” katanya.

Dalam menangani kehendak pelabur antarabangsa ASEAN, beliau mengingatkan AEC supaya memberi penekanan yang sama ke arah memakmurkan rakyat mereka sendiri.

Akhirnya, penyepaduan ekonomi hanya menjadi lebih bermakna jika ia menjurus kepada pertumbuhan saksama dan terangkum yang menyediakan peluang bermakna untuk generasi muda ASEAN. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:11 AM