GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dijanjikan pelaburan perjudian dalam talian tanpa kerugian dan ditawarkan sehingga 16.5 peratus keuntungan setiap bulan.

Itu modus operandi yang digunakan satu sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai Zutello yang aktif beroperasi sejak dua tahun lalu.

Seorang ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Chia, 48, berkata, dia menyertai pelaburan itu melalui kenalannya tahun lalu.

"Saya ditawarkan pelaburan yang boleh mendapat pulangan 16.5 peratus sebulan selain pelaburan perjudian berserta insurans bagi jaminan pertaruhan yang kalah.

"Ini bermaksud kita hanya mendapat keuntungan sahaja daripada pertaruhan (perjudian) yang dibuat memandangkan sudah membeli insurans," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama hampir 200 mangsa penipuan sindiket berkenaan yang berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Chia berkata, pada mulanya, dia mendapat keuntungan yang dijanjikan dalam tempoh beberapa bulan, namun sindiket itu mula memberikan pelbagai alasan supaya terus menambah pelaburan.

"Apabila pelaburan dibuat dalam jumlah yang banyak, mereka mula berhenti memberikan pulangan keuntungan selepas 11 bulan melabur dengan sindiket berkenaan.

"Saya kecewa kerana isu ini sudah berlanjutan, namun sampai sekarang dalang utama sindiket berkenaan termasuk ejen utamanya dikenali sebagai Deric Ching masih belum ditahan," katanya yang mengalami kerugian RM500,000.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 44, dia mula menyertai pelaburan itu melalui kenalan lama sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

"Saya tertarik menyertai pelaburan itu kerana pulangan tinggi yang ditawarkan iaitu sehingga 16.5 peratus setiap bulan. Malah, saya turut mengajak ahli keluarga dan rakan untuk menyertai pelaburan itu.

"Saya difahamkan oleh ejen bahawa pelaburan ini seperti perniagaan iaitu kami sebagai pengeluar modal akan mendapat keuntungan melalui mana-mana pelaburan dibuat syarikat itu.

"Apabila berada dalam kesusahan ketika pelaksanaan PKP itu, saya merasakan melabur adalah tindakan bijak untuk mendapatkan pendapatan stabil setiap bulan," katanya yang juga pemilik kafe.

Tan berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM500,000 membabitkan wang simpanannya, ahli keluarga serta rakan yang turut menyertai pelaburan berkenaan.

"Sepanjang tempoh 2020 hingga Ogos tahun lalu, kami asyik dipaksa untuk membuat pelaburan dengan diancam tidak dapat mengambil keuntungan sekiranya tidak terus melabur.

"Dalam tempoh beberapa bulan sebelum Ogos tahun lalu, mereka juga memberikan banyak promosi hebat bagi menarik minat kami untuk melabur dengan lebih banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 3:45 PM