HAJIJI membentangkan Belanjawan 2023 Sabah. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Sabah
HAJIJI membentangkan Belanjawan 2023 Sabah. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Sabah bakal memberikan bantuan khas sebanyak setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 kepada 20,271 penjawat awam negeri, Januari tahun depan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya prihatin dan mengambil berat tentang kebajikan penjawat awam dalam negeri ini.

"Kecekapan penjawat awam dalam melunaskan amanah dan tanggungjawab yang menyumbang kepada pembangunan negeri dengan tidak berbelah bahagi amat dihargai.

"Justeru itu, di dalam Belanjawan 2023, kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000 kepada seramai 20,271 orang penjawat awam negeri dan akan dibayar pada bulan Januari 2023.

"Bayaran Bantuan Khas ini diharap akan dapat meringankan bebanan perbelanjaan

persekolahan anak-anak dan untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

"Selain daripada itu, Bantuan Khas sebanyak RM500 untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan juga akan diberikan dan dibayar pada bulan April 2023," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan RM12.83 juta diperuntukkan untuk semua kementerian dan jabatan untuk Program Pembangunan Sumber Manusia.

Di samping itu, pihaknya juga menyediakan peruntukan RM7.5 juta bagi pembiayaan biasiswa dan kos latihan pegawai kerajaan di dalam dan di luar negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 6:01 PM