Peniaga ayam dibahu jalan melayani permintaan pelanggan di Kampung Gong Pauh, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Peniaga ayam dibahu jalan melayani permintaan pelanggan di Kampung Gong Pauh, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Harga ayam mengalami kenaikan melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram mendapati di beberapa pasar awam di sini.

Tinjauan mendapati berlaku kenaikan harga sebanyak RM1.10 sekilogram sedangkan harga siling ditetapkan kerajaan hanya RM9.40 sekilogram.

Peniaga ayam di beberapa pasar awam mendakwa terpaksa menjual harga ayam RM10.50 sekilogram berikutan berlaku kenaikan di peringkat pembekal.

"Walaupun harga siling ayam ditetapkan kerajaan adalah RM9.40 sekilogram tetapi berlaku kenaikan sebanyak 50 sen sekilogram di peringkat pembekal," katanya mengakui pernah dikenakan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Peniaga yang enggan namanya didedahkan mendakwa keuntungan diperoleh digunakan untuk sewa dan gaji kakitangan.

Bagaimanapun, berlaku perbezaan harga ayam antara yang dijual di pasar awam dan peniaga di bahu jalan.

Tinjauan mendapati harga ayam yang dijual peniaga dibahu jalan adalah RM8.99 sekilogram dan lebih rendah daripada harga siling ditetapkan kerajaan.

Seorang peniaga, Sabri Muhammad Shah, 43, berkata, berlaku penurunan harga ayam sebanyak 50 sen sekilogram sejak dua minggu lalu.

Katanya, harga ayam yang dijual dua minggu lalu adalah RM9.49 sekilogram tetapi turun kepada RM8.99 sejak Khamis lalu.

"Berlaku penurunan harga ayam yang dijual peniaga di bahu jalan tetapi kurang mendapat sambutan pengguna," katanya yang mengesahkan hanya mampu menjual sehingga 70 kilogram sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 2:35 PM