MOHD Nasir Nawawi menerima ijazah sarjana muda kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini. FOTO Mary Victoria Dass.
MOHD Nasir Nawawi menerima ijazah sarjana muda kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Saya dengan rela hati menangguh hasrat untuk sambung pengajian demi memberikan ruang dan laluan kepada adik-beradik mengejar impian mereka," kata seorang graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohd Nasir Nawawi, 47.

Menjadi antara graduan yang diraikan di Majlis Konvokesyen UTM ke-66, dia menamatkan pengajian dalam kursus sijil dan diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Ungku Omar, Perak ketika berusia 20-an.

Bapa kepada tiga cahaya mata berkata, sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, tanggungjawabnya berganda apabila bapanya meninggal dunia pada 1998.

Katanya, sebahagian pendapatannya digunakan bagi membantu menyara adik-beradiknya yang melanjutkan pengajian masing-masing.

"Biarlah saya sebagai abang mengalah untuk melihat adik-adik saya yang lain mampu mengejar cita-cita mereka.

"Saya memang minat untuk sambung belajar dan berasa ketinggalan apabila melihat rakan-rakan yang memiliki ijazah dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, namun saya reda.

"Saya tidak mampu melihat adik-adik saya keciciran hingga menjejaskan masa depan mereka dan sekiranya mereka susah, saya juga tidak dapat hidup dengan tenang," katanya.

Penolong Jurutera di Jabatan Pertanian di Perak, berkata, dia bersyukur kerana kesemua adiknya bergelar graduan dan masing-masing termasuk adik bongsu berusia 30 tahun sudah mendirikan rumah tangga.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam itu berkata, dia bersyukur akhirnya mampu melanjutkan pengajian sebagai pelajar separuh masa di UTM pada sesi 2015/2016.

Menurutnya, pelbagai cabaran dan halangan dialami apabila melanjutkan pengajian di UTM lebih-lebih lagi pada usia 40-an ini, termasuklah daripada segi tanggungjawab menyara keluarga dan mengurus kerjayanya.

"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, keputusan untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda adalah suatu yang indah dalam hidup saya bagi mengejar cita-cita sebagai seorang jurutera diiktiraf dan menerima gelaran Ir.

"Saya menghargai dorongan diberikan isteri, ahli keluarga termasuk adik-beradik saya selain pensyarah yang banyak membantu sepanjang pengajian saya di UTM.

"Pada hari ini hanya isteri menemani saya ke majlis konvokesyen ini berikutan ibu dan adik-beradik saya mengerjakan umrah di tanah suci.

"Saya berharap mereka mendoakan kejayaan saya serta keberkatan dalam setiap perkara yang saya lakukan.

"Bagi individu yang ingin melanjutkan pengajian dan menuntut ilmu pada usia 40-an atau usia lebih lanjut, tiada apa yang mustahil sekiranya anda berusaha," katanya.

Mohd Nasir menerima ijazah sarjana muda disampaikan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang juga Canselor UTM.

Seramai 7,934 graduan diraikan di Majlis Konvokesyen Ke-66 UTM termasuk seramai 44 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD); 1,478 Ijazah Sarjana; 4,368 (sarjana) dan 994 (diploma).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 5:48 PM