WETROM Bahanda (tiga kiri) bersalaman dengan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika bertemu pengundi di tamu Kota Marudu. FOTO Ihsan pembaca.
WETROM Bahanda (tiga kiri) bersalaman dengan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika bertemu pengundi di tamu Kota Marudu. FOTO Ihsan pembaca.
Izwan Abdullah


Kota Marudu: Tamu atau pasar mingguan yang menjadi tumpuan penduduk terutama di kawasan luar bandar di Sabah menjadi medan pertembungan calon pelbagai parti untuk meraih sokongan pengundi.

Di pekan Kota Marudu, di sini, tamu Ahad hari ini menyaksikan dua calon utama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Kota Marudu bersua muka dengan riak wajah yang mesra walaupun 'bermusuh' sepanjang kempen.

Penyandangnya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan seteru terdekatnya, Datuk Wetrom Bahanda dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sempat bertanya khabar mengenai aktiviti kempen masing-masing.

Kedua-dua mereka mengadakan aktiviti bertemu pengundi di tamu berkenaan yang bukan saja dikunjungi penduduk sekitar termasuk dari luar daerah sama ada untuk berniaga atau membeli barangan keperluan.

Wetrom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandau sebelum ini adalah rakan Maximus dalam GRS Kota Marudu, namun bekas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah itu bertindak keluar parti bulan lalu kerana mahu bertanding di kerusi berkenaan pada PRU-15.

Beliau pada mulanya dilihat mahu bersama Parti Warisan (Warisan) tetapi kemudiannya menyertai KDM sebelum diumumkan sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Kota Marudu menentang Maximus yang menyandang kerusi itu sejak 1995.

Selain mereka, turut bertanding di kerusi itu ialah Datuk Jilid Kuminding (Warisan), Shahrizal Denci (Muda), Mohd Azmie Zulkiflee (Pejuang) dan seorang calon Bebas, Norman Tulang.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam jelajah membantu kempen Maximus, di sini, berkata khidmat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu masih diperlukan dalam menyuarakan keperluan Sabah di persekutuan.

Katanya, Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah seorang yang konsisten dan lantang dalam memperjuangkan hak Sabah.

"Saya memerlukan Maximus untuk membantu dalam menyuarakan tuntutan Sabah kepada kerajaan persekutuan. Suara lantangnya masih sangat diperlukan khususnya dalam menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, turut menyifatkan penerimaan PBS untuk menggunakan lambang GRS pada PRU-15 berbanding lambangnya sendiri sebagai satu pengorbanan yang besar.

"Ia cukup bermakna kepada saya, sebab itulah saya mahu rakyat Kota Marudu mengundi Maximus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 4:33 PM