Omar Ahmad

Kulai: "Sekejap saja air dah cecah paras leher dan kami terpaksa cari tempat selamat," kata Noor Arifin Razali, 32, salah seorang penduduk Kampung Baru Sengkang di sini, yang dilanda banjir kilat semalam.

Situasi itu dialami peniaga pisang goreng dan air tebu berkenaan yang menyaksikan rumah, kereta dan stok barangan niaga tenggelam serta dihanyutkan arus banjir dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu.

Noor Arifin berkata ketika kejadian dia sedang berniaga di kawasan berdekatan dan pulang ke rumah di untuk membantu keluarga apabila menyedari berlaku banjir kilat.

Katanya, ketika sedang membantu keluarga mengangkat barang, air naik terlalu cepat dan arus kuat namun sempat mengalihkan kereta ke bahu jalan.

"Kemudian saya bantu keluarga mengangkat barang seperti tilam, baju dan sebagainya. Bila saya keluar tengok kereta sudah tenggelam.

"Stok barang niaga saya iaitu 200 batang tebu, lapan tandan pisang dan tepung yang diletakkan di rumah hanyut dibawa arus banjir.

"Memang tidak sempat buat apa-apa, hendak alihkan kereta pun tak boleh, jadi saya dan keluarga terus keluar ke tempat selamat sebab air sudah paras leher (kira-kira 1.5 meter)," katanya ketika ditemui sedang membersihkan rumah di Kampung Baru Sengkang di sini, hari ini.

Bagi Pekerja Kilang, Razali Atan, 50, menyifatkan kejadian berpunca daripada hujan lebat luar biasa.

Katanya, sistem perparitan di kampung ini diselenggara dan dikorek mengikut jadual.

"Hendak kata masalah sistem perparitan pun tidak, sebab parit di kawasan ini sudah dibesarkan, air pun mengalir deras tidak tersumbat.

"Memang banjir kilat sebab hujan yang terlalu lebat. Kawasan ini juga kerap banjir dulu pernah naik air pada tahun 2001, 2004, 2007, 2010 dan 2011. Sudah lima tahun tidak banjir, semalam banjir terus teruk.

"Memang rugi, habis barangan perabot kena banjir lumpur, lumpur pun tebal kena basuh, tak tahu ambil masa berapa lama hendak kemaskan rumah," katanya.

Sementara itu, Pekerja Kilang, Muhammad Hasbullah Muhammad Subri, 22 sempat menyelamatkan neneknya, Lemehek Jalani, 85 keluar ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan barangan kerana air naik terlalu cepat.

"Rasa panik juga, saya hanya dapat selamatkan barangan peribadi sahaja. Saya kemudian menghantar mak dan datuk ke PPS, masa itu air banjir sudah naik atas jalan raya. Patah balik rumah sudah tidak boleh masuk sebab air sudah tinggi," katanya.

Malam tadi, dua PPS dibuka di Kulai iaitu PPS di Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang dan PPS Dewan Raya Kampung Murni membabitkan 194 mangsa daripada 40 keluarga.

Selain Kulai, daerah Kluang turut dibuka sebuah PPS di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di Simpang Renggam, menempatkan 25 mangsa daripada lima keluarga terjejas dari kampung yang sama.

Manakala Di Segamat, tiga PPS dibuka sejak 2 November lalu menempatkan 57 mangsa daripada 18 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 12:34 PM
NOOR Arifin bersama ibunya membersihkan lumpur di ruang tamu selepas kejadian banjir kilat di Kampung Baru Sengkang. FOTO OMAR AHMAD
NOOR Arifin bersama ibunya membersihkan lumpur di ruang tamu selepas kejadian banjir kilat di Kampung Baru Sengkang. FOTO OMAR AHMAD