Zuliaty Zulkiffli

Baling: "Banjir kilat yang berlaku kali ini paling teruk kerana biasanya kalau sebelum ini, air hanya naik paras tebing saja tapi kali ini masuk terus ke rumah penduduk sehingga kami terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) malam tadi.

"Habis barangan dalam kedai runcit termasuk beras, tepung, gula dan barangan lain ditenggelami air," kata Mohd Amirul Afif Ibrahim, 30.

Dalam kejadian jam 10 malam tadi, Mohd Amirul Afif berkata, dia tidak menyangka air akan memasuki kedai runcitnya selepas hujan lebat melanda kawasan itu pada jam 7 petang menyebabkan dia tidak sempat berbuat apa-apa.

Dalam kejadian itu, seramai 33 penduduk daripada 91 mangsa dari Kampung Tawar dipindahkan ke PPS Masjid Islahiyah Tawar manakala 11 mangsa daripada dua keluarga ditempatkan ke PPS Masjid Kampung Binjul Luar Tawar.

Mohd Amirul Afif berkata, air sungai kira-kira 10 meter di hadapan kedai itu naik dalam hanya 30 minit.

"Saya hanya sempat angkat sikit saja barang sebab tak ada tempat nak simpan.

"Habis barangan dalam kedai terutamanya 10 kampit beras, gula, tepung dan perkakas barangan elektrik basah hinggakan terpaksa menjual beras pada harga RM10 sekampit," katanya ketika ditemui di Kampung Tawar, di sini hari ini.

Mohd Amirul Afif berkata, dia pulang dari PPS pagi tadi untuk membersihkan kedai runcitnya dan bersedia untuk pulang semula ke PPS jika hujan lebat berlaku lagi petang ini.

Siti Aisyah Mat Sabri, 23, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah dan hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dan anak sulungnya, Muhammad Rais Izham Mohd Isa, 4.

Katanya, air mula naik dan memasuki rumahnya pada jam 6.30 petang hingga ke paras pinggang dan tidak sampai 30 minit kemudian, bahagian bawah rumah dua tingkatnya ditenggelami air.

"Suami, Mohd Isa Hashim, 33, ketika itu sedang memindahkan kereta ke tempat selamat manakala anak bongsu kami, Muhammad Razif Izhan, setahun tiga bulan berada di rumah neneknya ketika itu.

"Saya dan anak menyelamatkan diri duduk di tingkat atas rumah yang ketika itu sudah dinaiki air dan pada jam 11 malam, suami bersama pasukan penyelamat datang membantu kami untuk berpindah ke PPS dengan menaiki bot," katanya ketika ditemui di PPS Masjid Islahiyah Tawar, di sini hari ini.

Kanak-kanak menaiki bot untuk masuk ke kawasan rumah mereka yang dinaiki air di Kampung Tawar akibat banjir kilat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Kanak-kanak menaiki bot untuk masuk ke kawasan rumah mereka yang dinaiki air di Kampung Tawar akibat banjir kilat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Norani Abdul Samad, 58, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan pakaian serta perabot dalam rumahnya kerana air sungai harapan rumahnya masuk dengan cepat.

"Tak pernah berlaku banjir kilat seteruk ini kerana air masuk dengan deras dan cepat ke dalam rumah sehingga ke paras dada.

"Kami terpaksa berpindah apabila paras air semakin tinggi dengan bantuan pasukan penyelamat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pihaknya menyalurkan bantuan awal makanan kepada semua mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS terbabit selain melakukan pemantauan di kawasan yang terjejas banjir.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membesarkan, melebarkan dan mendalamkan sungai di kawasan itu bagi mengurangkan kejadian banjir kilat berlaku di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 4:43 PM