KEADAAN banjir kilat di Kulai. FOTO Ihsan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
KEADAAN banjir kilat di Kulai. FOTO Ihsan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk apabila tiga daerah terjejas dengan jumlah mangsa kini meningkat kepada 276 orang yang dipindahkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 8 pagi ini.

Kulai menjadi daerah paling terjejas apabila seramai 194 mangsa daripada 40 keluarga kini ditempatkan di dua PPS membabitkan Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya.

Segamat pula memindahkan 57 orang daripada 18 keluarga di tiga PPS sejak 2 November lalu membabitkan Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Tasek.

Kluang turut membuka sebuah PPS tengah malam tadi apabila seramai 25 mangsa daripada lima keluarga di Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam, terpaksa dipindahkan ke PPS di Dewan Utama kampung itu berikutan banjir kilat melanda.

Menurut laporan dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pagi ini, kejadian banjir berlaku di negeri ini disebabkan limpahan air sungai serta hujan lebat yang berlaku sejak 2 November lalu.

Katanya, limpahan air sungai serta hujan lebat menyebabkan beberapa penempatan penduduk di kawasan rendah kini mulai dinaiki air banjir.

"Sejak 2 November lalu, tiga PPS sudah dibuka di Segamat namun tiga lagi PPS baharu dibuka di Kulai dan Simpang Renggam, Kluang, malam tadi berikutan banjir mula melanda," kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam pada itu, paras air di Sungai Johor membabitkan lembangan Sungai Sayong di Kampung Sungai Siam, Kulai, kini dilaporkan berada dalam paras bahaya pagi ini.

Sungai berkenaan mencatatkan paras 20.71 meter berbanding paras normal, 19 meter.

Dua lagi sungai iaitu Sungai Batu Pahat membabitkan lembangan Sungai Lenik di Ladang Chaah serta Sungai Skudai di Kampung Separa, kini berada di paras amaran.

Sungai Lenik mencatatkan paras semasa 5.70 meter berbanding paras normal,4.10 meter,manakala Sungai Skudai pula mencatat paras 17.49 meter berbanding, 16 meter paras normalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 8:28 AM