ANTARA kawasan yang dilanda banjir di Kulai, semalam. FOTO ihsan APM
ANTARA kawasan yang dilanda banjir di Kulai, semalam. FOTO ihsan APM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 296 orang daripada 68 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 12 tengah hari ini.

Ia berbanding 276 orang mangsa banjir daripada 63 keluarga, pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan pertambahan mangsa banjir itu membabitkan daerah Kulai dan Kluang yang pindahkan ke tiga PPS baharu dan dibuka sejak malam tadi.

"Mangsa banjir di Kulai meningkat kepada 212 mangsa daripada 44 keluarga tengah hari ini berbanding hanya 194 mangsa daripada 40 keluarga pagi tadi.

"Mangsa banjir di Kluang juga meningkat dua orang kepada 27 daripada enam keluarga berbanding 25 orang daripada lima keluarga. Bagaimanapun mangsa banjir di Segamat kekal 57 orang daripada 18 keluarga," kata dalam kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, paras air di Sungai Johor membabitkan lembangan Sungai Sayong di Kampung Sungai Siam, Kulai kini dilaporkan berada pada paras amaran.

Sungai berkenaan mencatatkan paras 20.66 meter berbanding paras normal 19 meter.

Sungai Batu Pahat membabitkan lembangan Sungai Lenik di Ladang Chaah turut berada pada paras amaran dengan 5.82 meter berbanding hanya 4.10 meter.

Sungai Skudai di Kampung Separa dan Sungai Benut di Empangan Machap pula berada pada paras berjaga-jaga dengan 17.17 meter dan 16.80 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 2:14 PM