POSTER Calon PN Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berada di laluan menuju ke Pekan Tambun dirosakkan. FOTO L.MANIMARAN
POSTER Calon PN Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berada di laluan menuju ke Pekan Tambun dirosakkan. FOTO L.MANIMARAN
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Salah satu poster tertera perkataan 'Never Lost in Tambun' calon Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berada di tepi jalan laluan utama menuju ke Pekan Tambun di sini dirosakkan.

Poster yang dipasang oleh penyokong Timbalan Presiden Bersatu itu hanya disedari sudah terkoyak oleh mereka yang lalu lalang di kawasan itu.

Hasil tinjauan wartawan di lokasi mendapati poster itu sudah hampir separuh terkoyak terutama pada bahagian tengah muka yang memaparkan wajah calon.

Tindakan yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan poster itu dipercayai dilakukan dengan menggunakan pisau.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengambil maklum kes berkenaan.

"Kita ambil maklum kes ini dan siasatan akan dijalankan menjalankan sebaik menerima laporan.

"Saya mengingatkan semua parti dan penyokong jangan buat perkara ini (rosakkan poster) dan mestilah berhemah, hormat di antara satu sama lain.

"Jangan membuat khianat atau mencetuskan kontroversi semasa tempoh berkempen," katanya ketika dihubungi..

Dalam pada itu, katanya, Polis Perak menasihatkan mana-mana individu atau kumpulan penyokong atau parti politik supaya tidak melakukan perbuatan seperti mencabut, menconteng atau membakar poster, kain rentang dan bendera parti politik lain kerana ia boleh mengakibatkan suasana tidak harmoni ketika berkempen.

"Jika didapati bersalah tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"PDRM Perak akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja melanggar undang-undang yang sedang berkuatkuasa," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 3:03 PM