AMY Search dan Anna Jobling. FOTO arkib NSTP
AMY Search dan Anna Jobling. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Bera: Penyanyi rock legenda, Amy Search dan pelakon drama fenomena `Melur Untuk Firdaus', Anna Jobling antara artis yang bakal memeriahkan 'Konsert Anak Muda GEGOR Bera'yang akan berlangsung di Dewan Konvensyen Bera, pada 12 November ini.

Konsert itu akan diadakan jam 8.30 malam dan diadakan sempena Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera.

Ia menampilkan beberapa lagi penyanyi terkenal tanah air seperti Hael Husaini, Afieq Shazwan, Zoey Rahman, Nizam Laksamana, Fazli Zainal, Santesh, Lock Up, Ex Puxxle dan Lin Kah Jun.

Konsert percuma itu bertujuan menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan penduduk Bera yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan agama, selain muzik sebagai elemen perpaduan.

Dalam pada itu, Amy Search menzahirkan perasaan teruja kerana dapat beraksi kali pertama di hadapan Keluarga Malaysia di Bera.

"Pastinya saya akan memberikan persembahan istimewa untuk peminat yang ada di Bera malam Sabtu nanti.

"Nak tahu apa yang istimewa, kenalah datang beramai-ramai ke Konsert Karnival Keluarga Malaysia Sabtu ini," kata pelantun lagu Isabella dan Fantasia Bulan Madu itu.

Anna turut teruja untuk bertemu peminat malah ramai dalam kalangan pengikutnya menghantar pesanan peribadi (DM) di akaun Instagram (IG) miliknya menyatakan hasrat untuk bertemu.

"Sejak semalam, Anna tak putus-putus menerima DM dari peminat di Bera yang bertanyakan mengenai kehadiran Anna di Program Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera,'' katanya.

Sementara itu, Pengerusi Miat Quadra E-Sport Club, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal, yang juga penganjur Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR BERA berkata, konsert itu diadakan bertujuan untuk menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan penduduk Bera serta kawasan sekitarnya .

Kita maklum bahawa selain sukan, bidang hiburan juga platform berkesan dalam menyatupadukan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelbagai program menarik bakal berlangsung dalam Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR BERA, di Dewan Konvesyen Bera pada 12 November ini antaranya termasuklah Santai eGames, Karnival Kerjaya dan Pemeriksaan Kesihatan secara percuma bermula 9 pagi sehingga 5 petang.

Manakala konsert yang dibarisi oleh artis-artis terkenal akan berlangsung dari 8.30 malam sehingga 11 malam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan Pertandingan eGames yang diadakan bertujuan mencungkil bakal belia dalam e-sukan, yang kini menjadi kerjaya sukan di peringkat antarabangsa pada 12.30 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 6:10 PM