Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Tiada jaminan lima Exco kerajaan negeri Perak dari Barisan Nasional (BN) yang dikekalkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini kekal menduduki jawatan itu jika BN diberikan mandat mentadbir Perak selepas ini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan amalan biasa, pelantikan Exco kerajaan negeri akan terlebih dahulu dirujuk dan dibincangkan dengan Presiden parti.

"Itu kita punya amalan biasa, jadi tiada apa-apa jaminan (nama) sesiapa pun (kekal) kerana selepas kita menang, saya akan terlebih dahulu merujuk kepada Presiden parri (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk kita senaraikan nama Exco.

"Amalan selama ini pun memang parti yang akan buat keputusan," katanya sewaktu ditemui NSTP ketika sesi kempennya selaku calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan di sekitar pekan kecil Lenggong, di sini, hari ini.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dengan pada PRU-14 lalu, BN menang di 27 kerusi yang kesemuanya menerusi calon dari UMNO.

SAARANI Mohamad ketika ditemui sewaktu sesi kempennya selaku calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan di sekitar pekan kecil Lenggong. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
SAARANI Mohamad ketika ditemui sewaktu sesi kempennya selaku calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan di sekitar pekan kecil Lenggong. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 11:05 AM