ORANG ramai beratur panjang untuk menaiki feri di Jeti Terminal Penumpang Pulau Pangkor. FOTO Sharul Hafiz Zam
ORANG ramai beratur panjang untuk menaiki feri di Jeti Terminal Penumpang Pulau Pangkor. FOTO Sharul Hafiz Zam
Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Industri pelancongan antara sektor yang melalui fasa 'suram' ketika pasca pandemik Covid-19 sehingga ada yang kehilangan pekerja termasuk warga asing.

Selepas situasi Covid-19 semakin reda dan negara memasuki ke fasa endemik merancakkan kembali sektor pelancongan terutama apabila sempadan negara dibuka dan memerlukan tenaga kerja lebih ramai dalam meneruskan pengoperasian.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengesyorkan kepada kerajaan supaya pintu sempadan negara dibuka sebelum ia diumumkan dibuka bermula 1 April lalu namun kemasukan pelancong asing menyebabkan penggiat industri itu berdepan kekurangan tenaga kerja.

MPN mencadangkan supaya proses permohonan pekerja asing terutama sektor kritikal seperti perladangan, pelancongan dan pembuatan dipercepat dan dipermudahkan, manakala inisiatif serta bantuan dirangka segera bagi memacu semula sektor pelancongan negara.

Kerajaan ketika itu melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk bantuan Geran Khas Prihatin dan Program Subsidi Upah bagi memastikan majikan tidak memberhentikan pekerja.

Pengusaha Hotel Kejora Garden Resort Pulau Pangkor, Asmadi Teh berkata, pandemik lalu membawa kepada banyak perubahan landskap perniagaannya yang seolah-olah 'muflis' apabila industri terpaksa dihentikan kerana Covid-19.

Menurutnya, industri pelancongan di Pulau Pangkor pulih semula dengan kehadiran pelancong terutama pengunjung tempatan hampir setiap minggu.

"Inisiatif kerajaan melalui Program Subsisdi Upah yang diperoleh untuk enam pekerja membantu saya dan kakitangan untuk bertahan, sekali gus meringankan beban dalam tempoh sukar.

"Saya juga kekurangan pekerja kerana ramai memilih mencari kerja baharu dan untuk pengambilan pekerja asing sebenarnya dapat membantu dan saya harap urusannya lebih mudah.

"Saranan MPN dalam memacu kembali industri pelancongan dilihat dapat memulihkan keadaan termasuk memudahkan urusan pengambilan pekerja. Apa yang terbaik untuk industri kami akan menyokong," katanya.

Pengarah Grand Riverview Hotel di Kota Bharu, Kelantan, Gan Yeong Shuoh pula berkata, operasi hotelnya terpaksa dihentikan dua kali susulan pandemik Covid-19 kerana kos pengoperasian yang terlalu tinggi.

Menurutnya, sebelum ini hotelnya mempunyai 160 pekerja dan kini hanya tinggal 145 sahaja kerana ada pekerjanya memilih untuk berhenti dan mencari kerja lain namun mereka tidak menambah pekerja baharu.

"Saya mendapat bantuan Program Subsidi Upah yang sangat membantu untuk meringankan kos pembayaran gaji pekerja dalam situasi yang agak sukar ketika pasca pandemik.

"Pembukaan sempadan negara sedikit sebanyak merancakkan pelancongan di Kelantan kerana kami boleh dianggap sebagai 'transit' pelancong ke Pulau Perhentian.

"Kehadiran pelancong asing memang ada tetapi agak kurang berbanding pelancong tempatan," katanya.

Pengusaha chalet di Pulau Pangkor, Mazwin Teh Abdul Rahman, 37, berkata, perniagaannya terjejas ketika pandemik lalu hingga memaksanya mengurangkan dua daripada lima pekerjanya.

Menurutnya, dia bernasib baik menerima bantuan diberikan kerajaan semasa pandemik dan dalam masa sama usaha pemulihan sektor penting untuk memacu kembali pelancongan negara di landasan terbaik.

"Bantuan itu juga meringankan beban saya meneruskan operasi terutama gaji pekerja. Kunjungan pelancong tempatan memang meriah dan kita kekurangan tenaga kerja tetapi sekarang ini pelancong asing tidak ramai sangat," katanya.

Katanya, cadangan untuk mempercepatkan dan memudahkan urusan pengambilan pekerja seperti yang disyorkan MPN adalah langkah tepat kerana mereka memerlukan pekerja untuk meneruskan operasi yang kembali rancak selepas pandemik.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata), Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada MPN yang memberi saranan kepada kerajaan dalam mengesyorkan pelbagai inisiatif jangka pendek dan panjang kepada penggiat pelancongan.

Menurutnya, cadangan MPN supaya inisiatif serta bantuan dirangka segera bagi memacu semula sektor pelancongan negara adalah tepat untuk merancakkan lagi sektor berkenaan.

"Bantuan yang diberikan kepada penggiat sektor memang memberi kelegaan kepada semua dalam bidang pelancongan kerana ia memang diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 8:01 AM