Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Datuk Rozi Mamat diumumkan sebagai calon pertama yang disenaraikan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Umno Bahagian Hulu Terengganu di pekarangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong di sini, hari ini.

Ahmad berkata, Rozi yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu itu akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada PRU-15.

Katanya, pihaknya yakin kerusi Parlimen yang pernah menjadi milik parti itu pada PRU-14 akan dirampas kembali.

"Beliau (Rozi) ketua bahagian yang mendapat undian terbesar di Terengganu ketika PRU-14 dengan majoriti lebih 4,000.

"Kita kalah di Ajil cuma empat undi, Kuala Berang kita kalah (dan) Insya-Allah, kita boleh ambil balik dengan Ajil yang susah sedikit mungkin di Manir.

"Jadi kombinasi ini dengan muka-muka baharu dan sebagainya, mungkin kita boleh (menang).

"Insya-Allah, kita yakin Parlimen Hulu Terengganu jadi milik Umno dan Rozi selepas ini," katanya.

AHMAD bercakap kepada media ketika mengumumkan Rozi (kanan) sebagai calon bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada PRU-15. FOTO Ghazali Kori
AHMAD bercakap kepada media ketika mengumumkan Rozi (kanan) sebagai calon bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada PRU-15. FOTO Ghazali Kori

Untuk rekod, Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman manakala Umno memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Datuk Rosol Wahid keluar daripada Umno dan menyertai Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 8:29 PM