PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama penyokong sebelum ke Pusat Penamaan Calon. FOTO Hairul Anuar Rahim
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama penyokong sebelum ke Pusat Penamaan Calon. FOTO Hairul Anuar Rahim
Irwan Shafrizan Ismail


Image

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon yang bertanding ketika berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula hari ini hingga tengah malam 18 November nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata semua calon bertanding dalam PRU-15, tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) Perlis, Perak dan Pahang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya di Sabah diberikan tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus hari ini sehingga jam 11.59 malam, 18 November.

Beliau berkata, setiap calon yang sudah membayar deposit bahan kempen pilihan raya seperti peruntukan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) sewaktu mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

"Bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya juga berharap aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau berkata, SPR turut berterima kasih kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana menjalankan tanggungjawab dengan lancar hari ini.

Beliau juga menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, PBT, Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung.

Sehingga jam 5 petang tadi, seramai 1,386 calon bertanding dalam PRU-15, PRN Pahang, Perlis dan Perak serta PRK Bugaya.

Ia membabitkan seramai 945 calon yang bertanding dalam PRU-15; 434 calon bersidang dalam PRN Pahang, Perlis dan Perak serta tujuh calon PRK Bugaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 10:03 PM