Aizat Sharif


Kangar: Keputusan meletakkan 'calon payung terjun' Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan bertanding di Parlimen Padang Besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menggantikan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Zahidi Zainul Abidin dibuat atas dasar calon berkenaan mampu melakar kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) di parlimen itu.

Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, dalam soal itu juga tidak wujud situasi tidak normal dalam meletakkan sesuatu calon yang bukan berasal atau terbabit dalam bahagian parti itu.

"Keputusan ini dibuat atas dasar calon itu dilihat boleh menang dan kita di peringkat akar umbi akan bekerja untuk memastikan kemenangan lebih besar kepada calon ini.

"Dalam hal ini juga, kita mengambil kira konsensus suara akar umbi di seluruh negara dan ini cara BN melihat dan menilai keadaan kerana kita tak hanya melihat sesuatu secara spesifik sebaliknya melihat secara keseluruhan jadi kita melihat bukan saja di peringkat parlimen itu atau negeri tetapi keseluruhan ini bukan sesuatu yang baru berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan senarai 18 calon BN Perlis yang akan bertanding dalam PRU-15 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini malam tadi.

Katanya, jika dilihat sebelum ini juga banyak berlaku, calon yang datang dari tempat lain dan bertanding di sesuatu kawasan yang lain.

"Sebagai contoh, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu juga pernah bertanding di Kelantan berkali-kali, pernah bertanding di Permatang Pauh, Kuala Kedah dan Kota Raja pada PRU lalu jadi apa 'abnormal' dengan calon BN.

"Apa yang dilakukan oleh BN ini tidak sehebatl pertukaran tempat bertanding yang dilakukan oleh parti lain malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana beliau sebelum ini, di Port Dickson dan kali ini pula, dia akan bertanding di Parlimen Tambun dan begitu juga Datin Seri Wan Azizah, beliau turut 'move around' dan saya rasa itu bukanlah sesuatu yang ganjil dan boleh berlaku pada mana juga parti.

"Lim Kit Siang juga pernah berbuat begitu, berapa kali dia menjelajah dan bertanding dan kemudian menang di Perak dia bertanding, Pulau Pinang, Melaka dan Johor malah di Perlis juga, kita ada calon PKR bertanding pada PRU lepas, yang kita tak kenal datang bertanding di Dun Indera Kayangan, sebelum itu YB Chan Ming Kai bertanding di Dun Indera Kayangan dan selepas itu berpindah ke Parlimen Alor Setar jadi ini adalah normal," katanya.

Azlan berkata, apa pun di sini, BN bukanlah cuba mengikuti formula atau langkah yang dilakukan oleh pembangkang sebaliknya percaturan yang dilakukan itu adalah formula kemenangan kepada BN.

"Kita bukan ikut formula pembangkang, kita ikut formula kemenangan kita dan itu adalah formula yang diikuti kita dan bukannya mengikuti langkah yang dibuat oleh parti lain.

"Namun apa yang saya terangkan tadi adalah, proses ini bukanlah sesuatu yang tidak normal atau 'abnormal' kerana ia berlaku di mana-mana parti saja dan BN tidak terkecuali," katanya.

Terdahulu, Azlan menyampai watikah pencalonan kepada 15 calon Dun dan dua daripada tiga calon Parlimen BN Perlis yang akan bertanding dalam PRU ini.

Menurutnya 44 peratus adalah muka baru iaitu lima muka baru ditampilkan merebut kerusi di DUN Sena, Kuala Perlis, Sanglang, Indera Kayangan dan Pauh manakala 10 penyandang PRU termasuk beliau kekal mempertahankan kerusi masing-masing kali ini.

Selain Zahida, muka baru yang akan bertanding di peringkat parlimen adalah bekas Naib Ketua Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman bagi Parlimen Arau dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahya (Parlimen Kangar).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 9:00 AM