Guan Eng wajar jelaskan sekat peruntukan peniaga Bumiputera.
Guan Eng wajar jelaskan sekat peruntukan peniaga Bumiputera.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pakatan Harapan (PH) tidak wajar terus membisu pendedahan dakwaan mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyekat peruntukan sebanyak RM400 juta kepada peniaga kecil Bumiputera Melayu semasa pemerintahan PH.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jumlah itu adalah dana yang sepatutnya disalurkan kepada Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri yang ditubuhkan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Menurutnya, ini adalah satu perkara yang amat mengejutkan dan membimbangkan.

"Kenapa PH dan pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berdiam diri mengenai perkara penting yang membabitkan ekonomi Bumiputera sehingga kini? Di mana ketelusan yang sering disebut oleh PH?

"Menteri Kabinet Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali, sudah membantah tindakan bekas menteri kewangan itu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Yang kedua, juga dicantas oleh Menteri Kewangan Pakatan Harapan dana bagi penambahbaikan jalan raya bagi kawasan Felda, daripada 1,000 kilometer (km) kepada hanya 300 km," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, satu lagi ialah percubaan dibuat untuk menutup Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang menyediakan modal bagi perniagaan Bumiputera untuk mengambilalih syarikat-syarikat strategik.

"Justeru itu, saya melontarkan persoalan kepada Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri PH.

"Apakah jika dilantik Perdana Menteri, beliau mampu menjamin bahawa hak ekonomi Bumiputera Melayu akan dipertahankan, memandangkan bahawa DAP adalah parti dominan dalam PH," katanya.

Beliau berkata, adakah Anwar pernah membantah dalam Majlis Presiden PH terhadap tindakan prejudis ekonomi Bumiputera oleh Menteri Kewangan DAP.

"Apakah pemimpin DAP akan sekali lagi diberi jawatan Menteri Kewangan jika Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Apakah justifikasi Lim Guan Eng dan PH untuk menyekat peruntukan Bumiputera Melayu dalam zaman pemerintahan PH seperti di atas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 2:40 PM