BERNAMA

Butterworth: Seorang pembantu pegawai tadbir Universiti Sains Malaysia (USM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 52 pertuduhan menerima bayaran suapan berjumlah RM135,445.90 dari 2013 hingga 2017.

Tertuduh, Zurina Abdul Hamid, 43, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan apabila mengemukakan dokumen DO/Invois daripada TZP Ventures bagi Borang Pesanan Rasmi untuk pembayaran pembekalan barangan keperluan pejabat dan peralatan sukan.

Tertuduh yang mempunyai kepentingan dengan syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Sukan dan Rekreasi USM bagi tempoh 31 Disember 2013 hingga 15 Disember 2017.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam S Meharaj.

Terdahulu, Azlan menawarkan jaminan RM73,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Meharaj merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh mempunyai masalah kesihatan dan suami tertuduh hanya bekerja sebagai kerani bank untuk menanggung empat anak.

TERTUDUH (kiri) diiringi Pegawai SPRM hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. FOTO Danial Saad.
TERTUDUH (kiri) diiringi Pegawai SPRM hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. FOTO Danial Saad.

Meharaj berkata, tertuduh berdepan kemungkinan digantung kerja kerana kes sedang dalam siasatan jawatankuasa tatatertib USM.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Hakim Ahmad Azhari kemudian menetapkan 4 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 3:44 PM