GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menipu dan memperdaya seorang individu sebanyak RM50,000 dengan mengaku sebagai pembantu peribadi kepada bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan pada 2015.

Tertuduh, Kamarul Ramizu Idrus, 54, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba menipu dan memperdaya seorang lelaki berusia 28 tahun untuk menyerahkan wang RM50,000 dengan mempercayai dia adalah pembantu peribadi Timbalan Menteri Kewangan pada ketika itu dan akan mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan yang dikatakan terlibat dalam skim pelaburan emas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6 Julai 2015.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri dan Pegawai Pendakwa Siti Mastura Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan dua orang penjamin dan perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Norhayati turut menetapkan 10 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 5:09 PM