Tan Sri Acryl Sani Abdullah mendengar penerangan daripada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Lembah Pantai.
Tan Sri Acryl Sani Abdullah mendengar penerangan daripada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Lembah Pantai.
Muhamad Hafis Nawawi


Image

Kuala Lumpur: Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung di 222 pusat penamaan calon seluruh negara berada dalam suasana aman dan terkawal.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, maklumat yang diterima dari seluruh kontinjen mendapati proses penamaan calon yang berlangsung hari ini mengikut peraturan berpandukan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya, beliau mengarahkan semua Ketua Polis Negeri turun meninjau kawasan penamaan calon di kawasan mereka bagi memberi keyakinan kepada masyarakat.

"Saya juga berada di sini untuk melihat sendiri proses penamaan calon ini adakah dilakukan mengikuti peraturan ditetapkan.

"Walaupun kita mendengar ulasan dari pemerhati politik dan pihak tertentu yang mengatakan bahawa PRU-15 ini adalah pemilihan yang sengit disebabkan perkembangan politik semasa namun saya melihat daripada proses ini, nampaknya keadaan tenang dan terkawal," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Acryl Sani diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim hadir di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya di sini bagi meninjau proses penamaan calon bagi kawasan P. 121 Lembah Pantai.

Acryl Sani tiba jam 9.35 pagi sebelum mendengar taklimat daripada pegawai bertugas mengenai perjalanan proses penamaan calon di kawasan itu.

Dalam pada itu, Acryl Sani turut memberi jaminan, PDRM bersama agensi lain akan memastikan bahawa keadaan tempoh berkempen yang bermula hari ini sehingga 19 November ini akan diadakan dalam keadaan selamat dan terkawal.

Beliau mengingatkan kepada semua parti politik termasuk calon yang terbabit memastikan kempen dilakukan mereka dibuat dengan penuh tatatertib, berhemah dan bertanggungjawab.

"Mereka yang terbabit perlu memastikan tidak menyentuh isu-isu yang terlalu ekstrim berkaitan dengan agama, perkauman dan seumpamanya yang boleh mencetuskan kekacauan sepanjang kempen berlangsung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 2:24 PM