GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Gangguan bekalan air di beberapa daerah di negeri ini sejak pagi semalam yang menjejaskan 124,807 pengguna disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas serta-merta berikutan kadar kekeruhan air sungai yang tinggi.

Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dalam kenyataan berkata, daerah yang terjejas ialah Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan sebahagian Pokok Sena.

"Pengoperasian LRA Pelubang dan LRA Bukit Pinang terpaksa dihenti tugas serta-merta selepas ujian makmal di LRA mencatatkan kadar kekeruhan air mentah yang tinggi iaitu mencecah 3,000 unit kekeruhan nephelometric (NTU) berbanding sebelumnya di bawah 1,000 NTU (normal).

"NTU adalah unit yang digunakan untuk mengukur kekeruhan bendalir atau kehadiran zarah terampai dalam air. Semakin tinggi bilangan NTU, maka semakin tinggi kadar kekeruhannya," katanya.

Menurutnya, untuk mengembalikan kepada keadaan normal, LRA akan melalui beberapa proses pemulihan sistem rawatan air serta kerja pencucian kotoran di tangki rawatan yang terjejas sebelum dapat beroperasi semula.

Katanya, SADA bertungkus-lumus melaksanakan proses pemulihan LRA supaya pengguna yang terkesan dapat menerima bekalan air secepat mungkin.

"Sehingga jam 8 pagi tadi, LRA yang terkesan akibat kadar kekeruhan air mentah yang tinggi sudah mula beroperasi. Tahap peratusan loji beroperasi di LRA Pelubang sudah mencapai 100 peratus dan LRA Bukit Pinang adalah sebanyak 70 peratus.

"Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terkesan adalah berbeza dan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan.

"Pengguna yang terkesan akan menerima bekalan air secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 12:28 PM