Khairy Jamaluddin. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Khairy Jamaluddin. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sedang membangunkan beberapa dasar dan pelan hala tuju menerusi Dasar Revolusi Perindustrian ke-4 Negara (Dasar 4IR Negara) bagi memastikan pembangunan teknologi berfungsi sebagai pembolehdaya transformasi.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pelan hala tuju itu merangkumi pembangunan teknologi elektrikal dan elektronik, vaksin, blockchain, ekonomi hidrogen, teknologi nano, kecerdasan buatan, robotik, bahan termaju serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan, inovasi dan ekonomi.

Menurutnya, melalui inisiatif itu, strategi yang dirangka akan membabitkan semua pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran masa hadapan sejajar dengan teras 4IR Negara yang merentasi domain digital, fizikal dan biologi ke arah mencapai negara maju berteknologi tinggi.

"Inisiatif membangunkan Dasar 4IR Negara dilihat sebagai komitmen kerajaan untuk mempersiapkan masyarakat dan perniagaan menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang daripada revolusi perindustrian .

"Bagi meningkatkan kadar pengunaan teknologi 4IR yang bersifat disruptif, pendekatan 'future by design' seperti 'venture builder' perlu digunakan dengan pembangunan ekosistem yang kondusif dan inklusif merangkumi rantaian bekalan dan nilai untuk membolehkan pihak industri mencipta produk bernilai tinggi bersesuaian dengan kehendak pasaran tempatan dan global.

"Melalui pendekatan 'quadruple helix' pula, pelbagai peluang baharu yang memacu ke arah keseimbangan sosio ekonomi mampan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran secara maya yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Khairy dan Mustapa turut menandatangani dokumen Dasar 4IR Negara pada majlis berkenaan.

Khairy berkata, Mosti sentiasa menyokong usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi melalui pembangunan teknologi.

Menurutnya, Dasar 4IR Negara saling melengkapi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030) yang membawa agenda pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi yang disepadukan dengan pengukuhan ekonomi di bawah konsep Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

"Bagi menyokong pelaksanaan DSTIN untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, rangka kerja 10-10 MySTIE yang menyenaraikan 30 bidang keutamaan sains, teknologi dan ekonomi yang mewakili 10 pemacu sosio ekonomi diperkenalkan.

"10-10 MySTIE diformulasi bagi mengenal pasti jurang di antara hasil R&D dengan keperluan industri serta membantu dalam mengenal pasti isu di dalam pengkomersilan produk, teknologi dan perkhidmatan.

"Antara teknologi yang dihasilkan melalui inisiatif ini adalah teknologi Farm Assist Robot for Multi Operation (FARMO) yang membantu petani dalam penyemburan racun perosak serta pelaksanaan projek rintis di ladang Felda menggunakan teknologi dron dan robotik," katanya

Katanya, kesan daripada teknologi 4IR ini sudah mula dirasai dan tidak dapat dielakkan.

"Justeru, semua pihak baik komuniti perniagaan, sektor kerajaan dan rakyat perlu memainkan peranan serta sentiasa peka dan bersedia untuk berubah bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan dapat memanfaatkan perkembangan teknologi 4IR dan teknologi baru muncul," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 2:09 PM