RAHAMAT (tiga dari kanan) bergambar bersama ahli Warisan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
RAHAMAT (tiga dari kanan) bergambar bersama ahli Warisan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Parti Warisan Malaysia (Warisan) mengumumkan akan meletakkan calon bertanding di Parlimen Port Dickson.

Ketua Bahagian Port Dickson, Rahamat Isahak berkata, Warisan akan bertanding di Parlimen Port Dickson dan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila dibubarkan nanti.

"Buat masa sekarang kami menumpukan gerak kerja memperkenalkan nama parti kepada pengundi di Parlimen Port Dickson.

"Kami akan bergerak di beberapa kawasan secara bersemuka sambil mengenalkan calon kami yang akan diumumkan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, seperti yang semua tahu, parti Warisan ditubuhkan di Sabah namun sudah mula bertapak di Semenanjung.

"Di Port Dickson selain Parlimen, kami juga akan menumpukan gerakan di kawasan Lukut, Sri Tanjung, Chuah dan Bagan Pinang.

"Buat masa ini, biarlah kami fokus di empat DUN ini dulu sebelum memikirkan kawasan lain seperti Pasir Panjang, ia bergantung kepada tahap sokongan di kawasan itu," katanya.

Turut bersama, Penyelaras DUN Lukut, Datuk Teo Seng Lee serta beberapa ahli jawatankuasa Warisan Port Dickson.

Rahamat berkata, beliau yakin Warisan akan diterima kerana parti itu terbuka kepada semua kaum.

"Gerak kerja akan lebih tersusun apabila nama calon diumumkan Presiden dalam masa terdekat namun kami perlu lebih bersedia dari sekarang," katanya.

Beliau berkata, setakat ini sambutan pengundi adalah menggalakkan dan pihaknya akan terus bergerak memperkenalkan nama parti dan logo kepada pengundi.

"Bagi kami cabaran utama ialah memperkenalkan logo parti yang masih baru agar dikenali pengundi dan kempen secara bersemuka bagi mendekatkan diri kepada masyarakat.

"Kemungkinan kami tidak membuat kempen secara terbuka atau ceramah umum kerana usaha ini tidak praktikal kerana parti kami parti baru di sini," katanya.

Menurutnya, parti Warisan tidak meletakkan sebarang sasaran kerana ia parti baru di sini dan setakat ini hanya bertanding secara solo.

"Kami hanya mengikut arahan pihak atasan tetapi buat masa ini kami bergerak solo dan tidak ada sebarang kerjasama dengan parti-parti lain.

"Apa-apa juga keputusan parti pusat, kami ikut dan buat masa ini kami selesa bergerak solo dan yang penting kami harus berusaha memberikan kesedaran kepada masyarakat dengan moto parti 'Perpaduan, Integriti dan Adil'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 4:47 PM