ROZABIL (tiga kiri) bermesra dengan penduduk setempat ketika melakukan tinjauan mesra di Kampung Kuala Sanglang, Perlis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
ROZABIL (tiga kiri) bermesra dengan penduduk setempat ketika melakukan tinjauan mesra di Kampung Kuala Sanglang, Perlis. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya tidak bercadang mahu membawa KLCC atau Pavilion, cuma nak memastikan ekonomi yang 75 peratus aktiviti pertanian di Arau, Perlis berkembang maju," kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apa yang ingin dibuat jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini pada program Kenali Calon New-Gen BN Bersama Khairy Jamaluddin yang diadakan menerusi sesi siaran langsung di Facebook Khairy, tengah hari, hari ini.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Naib Ketua Bahagian Arau berkata, tindakan segera yang ingin dilaksanakan adalah membantu dari segi keperluan mereka yang mengusahakan aktiviti pertanian.

"Di Arau ini, teknologi sudah dilaksanakan, ramai pemuda menggunakan dron untuk menyembur racun dan baja di sawah. Ia permulaan baik. Jadi, tugas saya sekarang nak bantu mereka untuk teknologi yang lebih baik baik dapat digunakan di sawah di Arau ini.

"Selain itu, kepada golongan muda yang berkemampuan untuk memulakan perniagaan, saya nak membuat padanan geran dan bantu mereka sebaik mungkin. Bukan apa, saya tidak mahu mereka keluar dari Perlis. Ini dua perkara yang saya nak buat segera jika diberi mandat," katanya.

Pada sesi sama juga, Khairy turut bertanya adakah dia mampu menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menjadi calon Perikatan Nasional (PN), Rozabil atau dikenali sebagai Tok Ben menyatakan keyakinan.

"Datuk Seri Shahidan sudah menabur bakti yang banyak di Arau malah pernah menjadi Menteri Besar Perlis. Dia sudah cukup popular dan dikenali di sini.

"Apa yang saya bawa, jasa beliau dikenang, tapi sokongan ahli Umno dan BN, harus tetap bersama BN. Semangat ini saya bawa dan naikkan dalam parti. Insya-Allah, saya buat yang terbaik untuk Arau. Tak perlu menjadi Shahidan, tapi menambah baik dan teruskan kesinambungan," katanya.

Selain Rozabil, calon BN lain yang terbabit pada sesi bersama Khairy itu ialah calon Parlimen Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin; calon Parlimen Raub, Datuk Chong Sin Woon; calon Parlimen Kuala Langat, Datuk M Mohana; calon Parlimen Alor Gajah, Shahril Hamdan; calon Parlimen Tebrau, Nicole Wong; calon Parlimen Padang Serai, Datuk C Selvaraj dan calon Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 4:25 PM