GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norsyazwani Nasri


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan sasaran untuk memenangi semua 31 kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sasaran itu bersandarkan kepada sokongan rakyat kepada parti itu.

"Saya rasa tidak ada masalah untuk kita (GPS) memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan.

"Rakyat sentiasa memberi sokonganbaik kepada kepimpinan GPS yang diterajui Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selaku Pengerusi GPS," katanya ketika ditemui selepas perasmian Pusat Pemeriksaan CARSOME Kuching di sini, hari ini.

GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP),dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pada PRU-14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen, SUPP (7), PRS (6) dan PDP (4).

Menjelas lanjut, Timbalan Premier itu berkata, bagi kerusi PBB, parti GPS tidak menghadapi masalah untuk memenangi kesemua kerusi yang ditandingi.

"Majoriti kerusi PBB terletak di kawasan luar bandar, saya rasa GPS tidak berdepan masalah daripada segi sokongan rakyat.

"Berdasarkan situasi pada masa ini GPS boleh menyapu bersih kesemua kerusi PBB yang dipertandingkan, saya sendiri orang luar bandar dan merupakan penyokong kuat GPS," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRU-15 pada 5 November, hari pengundian awal pada 15 November manakala hari pengundian pada 19 November ini.

DOUGLAS (dua kiri) memotong riben sebagai simbolik perasmian Pusat Pemeriksaan CARSOME di Kuching. FOTO Norsyazwani Nasri
DOUGLAS (dua kiri) memotong riben sebagai simbolik perasmian Pusat Pemeriksaan CARSOME di Kuching. FOTO Norsyazwani Nasri

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 1:12 PM