ABANG Johari (tiga dari kiri) hadir pada Majlis Perasmian Dewan Komuniti Kampung Haji Baki di Kuching, hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan.
ABANG Johari (tiga dari kiri) hadir pada Majlis Perasmian Dewan Komuniti Kampung Haji Baki di Kuching, hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah mempersiapkan calon terbaik untuk ditampilkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari berkata, pihaknya kini hanya menunggu 'beduk' dibunyikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk pilihan raya itu diadakan.

Menurutnya, dengan suasana politik Sarawak yang aman menjelang PRU-15, GPS yakin mampu meraih sokongan majoriti rakyat negeri itu.

"Syukur Alhamdulillah, politik kita (Sarawak) tenang sahaja dan ini membuatkan kita hanya menunggu beduk dibunyi.... saya pun tak tau bila ia akan dibunyikan, tetapi kita sudah bersedia.

"GPS akan menghantar wakil rakyat (Ahli Parlimen) yang hebat-hebat ke Parlimen Malaysia pada pilihan raya yang akan datang," katanya.

Beliau yang juga Premier Sarawak berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Komuniti Kampung Haji Baki dan Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Semeba dan Kampung Tematu, hari ini.

Sebelum ini, Abang Johari mengumumkan GPS kekal bertanding di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU-15.

Ketika ini, GPS mempunyai 19 wakil di Parlimen dengan 13 kerusi diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tiga kerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS), dua kerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) dan satu kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 6:04 PM