GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Penduduk yang terbabit dengan banjir wajib berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, ia selaras dengan Seksyen 4C Akta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1951 (Akta 221) yang memperuntukkan arahan wajib berpindah kepada mangsa terkesan banjir.

Menurutnya, arahan itu juga terpakai kepada mereka yang terkesan dalam sebarang situasi kecemasan, krisis, darurat dan bencana lain.

"Malaysia akan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangkakan akan bermula pada pertengahan November hingga Mac 2023.

"MTL diramalkan membawa taburan hujan tinggi dengan jangkaan lebih banyak negeri yang akan terkesan berbanding MTL sekali gus memberikan ancaman lebih besar kepada keselamatan nyawa dan harta orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setiap kali MTL, agensi penyelamat berhadapan dengan keengganan mangsa mematuhi nasihat dan arahan lisan yang dikeluarkan untuk berpindah ke PPS.

Katanya, APM akan melaksanakan pemakaian kuasa secara berhemah dan memohon mangsa bencana mengambil langkah berpindah awal atau mematuhi arahan yang dikeluarkan demi keselamatan dan nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 8:47 PM