Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: "Saya juga pernah menjadi penjaja satu masa dulu. Jual limau, ikan di Pasar Sehari Temerloh," dedah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, Ismail Sabri berkata, komuniti penjaja dan peniaga kecil begitu dekat dengan dirinya sejak sekian lama.

Katanya, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa memainkan peranan signifikan untuk membantu peniaga khususnya ketika negara berdepan dengan cabaran ekonomi pasca pandemik Covid-19.

"Jadi apa yang penjaja bangkitkan, saya faham kerana saya pernah hidup bersama penjaja.

"Saya sudah lalui semuanya dulu dan disebabkan itu setiap permohonan penjaja saya akan perhalusi dan luluskan," katanya dalam Majlis Pelancaran Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, hari ini.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

ISMAIL Sabri (tengah) bersama Shahidan kiri) dan Noh ketika menghadiri Program Fiesta Mega Penjaja, Peniaga Dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ISMAIL Sabri (tengah) bersama Shahidan kiri) dan Noh ketika menghadiri Program Fiesta Mega Penjaja, Peniaga Dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Pesta selama dua hari bermula hari ini mengumpulkan lebih 20,000 penjaja, usahawan kecil dan peniaga seluruh negara.

Ismail Sabri berkata, menerusi Bajet 2023, pelbagai inisiatif yang disediakan untuk penjaja dan usahawan kecil kerana sumbangan besar komuniti itu kepada ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, sekiranya kerajaan diketuainya kini kembali mendapat mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Bajet 2023 akan dibentangkan semula dan diluluskan kelak.

"Bajet yang dibentangkan adalah bajet yang mempunyai kewangan mencukupi untuk dilaksanakan kelak.

"Selepas PRU-15, kalau saya masih diberikan peluang ketuai Malaysia, kita (kerajaan) akan bentangkan, lulus dan buat seperti ada dalam Bajet 2023," katanya.

Dalam majlis sama, Ismail Sabri turut bersetuju menjadi Penaung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 5:42 PM