FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Keterbukaan dan kesediaan parti politik daripada blok kerajaan untuk bekerjasama dengan parti pembangkang dalam menangani beberapa masalah atau perkara tertentu bukan isu luar biasa.

Pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung ketika dihubungi berkata, kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkaitan kesediaan partinya bekerjasama dengan parti pembangkang, khususnya mengenai isu tempatan Sabah, tidak wajar dilihat dalam ruang lingkup sempit.

"Kenyataan Maximus yang mengatakan PBS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang, termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan), tidak bermaksud kerjasama itu hanya dengan Warisan semata-mata.

"Kerjasama itu boleh wujud dalam banyak bentuk dan tidak semestinya bergabung untuk membentuk jajaran parti politik baru apatah lagi menjatuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk kerajaan negeri yang baru," katanya.

Menurut beliau, wakil rakyat daripada Warisan dipilih oleh rakyat secara demokrasi menerusi pilihan raya.

Katanya, PBS sebagai satu daripada komponen parti dalam kerajaan GRS sudah tentu mengalu-alukan sokongan dan kerjasama daripada Warisan.

"Namun, ini bukan bermakna PBS pergi meninggalkan GRS apatah lagi menjatuhkan kerajaan GRS untuk menyertai Warisan bagi membentuk kerajaan baharu," katanya.

Mengulas lebih lanjut, beliau juga menyifatkan kontroversi isu ini bukan kerana ia isu politik sebaliknya isu penyebaran berita palsu yang berkait dengan tahap literasi media dalam kalangan rakyat Sabah dan Malaysia secara amnya.

"Apa yang kita nampak tular dalam media sosial beberapa hari ini adalah cerita yang merupakan berita palsu sehingga kononnya ada yang akan ke Istana Negeri dalam masa terdekat ini untuk mengangkat sumpah dan sebagainya.

"Saya melihat kenyataan media Maximus mengenai perkara terbabit (sedia bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang) adalah amat jelas tetapi pelbagai spekulasi liar muncul sehingga memesongkan cerita.

"Lagipun, tiada logik bagi PBS yang sebelum ini ditawarkan untuk menyertai Warisan sewaktu Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri diterajui Warisan Plus tiba-tiba kini mahu menyertai mereka (Warisan)," katanya.

Dalam pada itu, Lee juga menjelaskan, kenyataan kedua-dua belah pihak sama ada daripada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahupun Maximus mengenai perkara terbabit menunjukkan kematangan politik mereka.

"Intipati kenyataan mereka berkaitan kemungkinan kerjasama, terutama berkaitan usaha menangani isu seperti kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Sabah, Perjanjian Malaysia (MA63) dan undang-undang anti lompat, bukannya menjatuhkan kerajaan GRS mahupun membentuk jajaran politik baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:37 PM