Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri mengenalpasti kira-kira 700 pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan berisiko banjir seluruh Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar negeri, Rodziah Ismail berkata, jumlah itu membabitkan PPS kekal dan juga yang baru ditambah bergantung kepada lokasi.

"Kerajaan negeri juga sudah menyediakan dan menghantar keperluan berkaitan banjir di lokasi yang dikenal pasti itu.

"Dulu, masalah kita adalah semua bekalan keperluan berkenaan berpusat di Sungai Buloh, sekarang kita agihkan semuanya di PPS utama setiap daerah. Jadi, tiada lagi berpusat seperti sebelum ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Malaysia Urban Forum 2022 (MUF2022) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.

Persidangan bertemakan Tindakan Tempatan Kepada Bandar dan Komuniti Berdaya Tahan Masa Hadapan itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han.

Sementara itu, Sze Han menyambut baik inisiatif Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyediakan 23 lokasi yang dijadikan tempat pemindahan kenderaan sebelum berlakunya bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

"Tempat letak kenderaan sementara, itu terpulang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi usaha MBSJ sangat bagus.

Inisiatif MBSJ sendiri adalah memaklumkan kepada orang awam sekiranya banjir berlaku di kawasan kediaman mereka di mana mereka boleh alihkan kenderaan mereka.

"Di PBT lain, mereka ada kaedah lain. Saya yakin mereka akan sampaikan maklumat yang berbeza dengan cara berbeza kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi

"Jika PBT lain ada keperluan, mereka juga boleh melaksanakannya di tempat berisiko dalam kawasan pentadbiran PBT berkenaan," katanya.

Sebelum ini, MBSJ dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kawasan tersebut dibahagikan kepada lima zon iaitu Kota Kemuning, Subang Jaya, Seri Kembangan, Sri Serdang dan Kinrara.

MBSJ berkata, langkah itu dibuat hasil daripada penganjuran Bengkel Pelan Strategik Operasi Bantuan Bencana MBSJ Sempena Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut baru-baru ini.

Rodziah pada sidang media selepas Perasmian Persidangan Malaysia Urban Forum 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Rodziah pada sidang media selepas Perasmian Persidangan Malaysia Urban Forum 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 1:57 PM