Norzamira Che Noh


Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menyediakan Pusat Transit Warga Emas yang akan dibina di Kelab Warga Emas dekat Seksyen 24.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, projek pembinaan pusat transit itu dijangka bermula awal tahun hadapan dan akan mengambil masa setahun setengah untuk disiapkan.

"Projek ini akan membabitkan beberapa fasa yang mana untuk fasa pertama kita akan membina bangunan induk yang akan dijangka boleh menempatkan 50 hingga 100 warga emas pada satu masa.

"Kita menganggarkan kos pembinaan untuk projek ini adalah RM3 juta dan InsyaAllah pembinaan akan bermula pada tahun hadapan.

"Proses pembinaan mungkin akan mengambil masa kerana kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pusat Transit Warga Emas di Kelab Warga Emas dekat Seksyen 24, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail.

Haris berkata, dengan pembinaan rumah transit itu, MBSA berhasrat untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan di fasiliti yang lebih baik serta komprehensif kepada warga emas di Shah Alam.

Katanya, pihaknya mensasarkan pusat transit itu digunakan sebagai pusat riadah, aktiviti keagamaan dan sosial serta tempat berehat pada warga emas bagi memastikan kualiti tatacara hidup yang sihat dan positif.

Menurutnya, pusat transit itu akan diuruskan oleh MBSA dan berharap dan ianya dibuka secara percuma kepada warga Shah Alam.

Sementara itu, Rodziah berkata, langkah MBSA itu wajar diikuti oleh PBT lain yang mana dengan adanya pusat berkenaan, anak-anak serta ahli keluarga tidak perlu lagi risau apabila meninggalkan ibu atau bapa mereka sendirian di rumah.

"Pusat ini berbeza dengan rumah jagaan warga emas yang lain iaitu anak-anak hanya menghantar ibu bapa ke pusat itu dan akan menjemput mereka selepas pulang dari kerja.

"Ini inisiatif yang amat bagus. Selain daripada mengurangkan kerisauan anak-anak terhadap ibu bapa yang sudah tua, warga emas itu sendiri juga dapat menikmati pelbagai kemudahan serta aktiviti di pusat transit," katanya.

RODZIAH (kanan) diiringi Haris (dua kiri) serta Pengerusi Kelab Warga Emas Shah Alam, Datuk Emran Kadir pada Majlis Pecah Tanah Pusat Transit Warga Emas Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
RODZIAH (kanan) diiringi Haris (dua kiri) serta Pengerusi Kelab Warga Emas Shah Alam, Datuk Emran Kadir pada Majlis Pecah Tanah Pusat Transit Warga Emas Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 3:06 PM