KEADAAN terkini bukit Taman Permai 2 yang runtuh yang runtuh pada 10 Mac lalu. FOTO Genes Gulitah
KEADAAN terkini bukit Taman Permai 2 yang runtuh yang runtuh pada 10 Mac lalu. FOTO Genes Gulitah
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 48 daripada 118 cerun seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini dalam kategori sangat kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, dianggarkan kos hampir RM1 juta diperlukan untuk kerja pembaikan cerun berkenaan.

"Bagaimanapun, kos sebenar bergantung kepada kajian lanjut oleh pihak pakar seperti Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga sudah memohon kerjasama daripada IKRAM untuk melaksanakan kajian dan pembaikan lanjut cerun dalam kawasan PBT," katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, MPAJ sedang melaksanakan lantikan panel kontraktor penyelenggaraan cerun berkategori sangat bahaya supaya tindakan awal penjagaan cerun dapat dilaksanakan dan sebarang tanda awal kegagalan cerun dapat diambil tindakan.

Mengenai solusi jangka masa pendek yang perlu dilaksanakan dalam mitigasi banjir terutamanya di peringkat PBT, Ng berkata, ia sudah dilaksanakan dan kini sedang diperkasakan.

"Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang melaksanakan pelan tindakan banjir untuk sistem saliran perbandaran yang mampan (Shah Alam Sustainable Urban Drainage Master Plan (SASUD) selari dengan pelan tindakan perubahan iklim yang menekan komponen tindakan tebatan banjir secara struktur untuk sistem saliran perbandaran.

"Sementara, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula sedang dalam tindakan pemasangan sistem amaran awal banjir iaitu 'Penambahbaikan Sistem Pemantauan Paras Air serta Siren (11 kawasan) dengan anggaran kos RM330,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 5:11 PM