MANGSA banjir di PPS SMK Changlun. FOTO ihsan APM
MANGSA banjir di PPS SMK Changlun. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 62 orang dari dua daerah iaitu di Langkawi dan Kubang Pasu yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah itu membabitkan 38 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Syifa di Langkawi manakala 24 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di Kubang Pasu.

Beliau berkata, PPS Dewan Syifa dibuka 8 malam tadi manakala PPS SMK Changlun dibuka 3 pagi, hari ini.

"Setakat ini, mangsa di Langkawi masih 38 orang daripada 10 keluarga dan kesemua mangsa dari Kampung Limbung Putra, Kampung Buluh Penyumpit dan Kampung Atas yang dinaiki air," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, hujan renyai melebihi enam jam menyebabkan tiga kampung iaitu Kampung Nangmah, Kampung Paya Lantau dan Kampung Paya Nongmi di Changlun dinaiki air.

"Trend air kini semakin naik dan penduduk di kawasan itu dinasihatkan berpindah dengan segera.

"Pihak APM Kubang Pasu memperoleh maklumat penduduk daripada penghulu Mukim Temin dan menasihatkan penduduk supaya berpindah ke PPS SMK Changlun hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 12:05 PM