Anggota APM Kubang Pasu memasang khemah untuk mangsa banjir yang dipindahkan di PPS SMK Changlun. FOTO IHSAN APM
Anggota APM Kubang Pasu memasang khemah untuk mangsa banjir yang dipindahkan di PPS SMK Changlun. FOTO IHSAN APM
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa banjir di negeri ini kekal 67 orang daripada 16 keluarga yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Langkawi dan Kubang Pasu.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah kesemua mangsa itu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini.

Beliau berkata, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Syifa, Langkawi kekal 43 mangsa daripada 11 keluarga manakala mangsa banjir yang ditempatkan di Kubang Pasu masih 24 orang daripada lima keluarga.

"Kawasan yang terjejas dalam banjir di Langkawi adalah Kampung Teluk Yu, Kampung Sungai Itau, Kampung Kilim, Kampung Tua, Tanjung Rhu, Kampung Pasir Hitam, Kampung Telaga Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah.

"Selain itu, Kampung Padang Gong, Hadapan Padang Mat Sirat, Jalan Kedawang, Jalan Kelubi, Sekolah Kebangsaan (SK) Tuba, SK Seri Lagenda, Simpang Tiga Nyior Cabang, dan Jalan Penarak turut terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata, jumlah mangsa banjir di Kubang Pasu pula masih kekal 24 mangsa daripada lima keluarga di daerah itu yang dipindahkan awal pagi tadi.

"Kesemua mangsa itu membabitkan Kampung Paya Lantau, Kampung Nangmi dan Kampung Nangmah di Changlun dan kesemua mereka masih ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 12:40 PM