DATUK Seri Ahmad Hamzah. FOTO Amir Mamat
DATUK Seri Ahmad Hamzah. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Jasin: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah mengumumkan untuk menarik diri daripada dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Penyandang kerusi Parlimen Jasin itu berkata, ia adalah untuk memberi peluang kepada muka baharu sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN).

"Memang sudah sampai masanya (saya berundur) kerana setiap yang bermula mesti akan berakhir. Walaupun saya seronok untuk bekerja demi rakyat, tapi saya rasa masa ini adalah paling tepat untuk saya berundur.

"Kita beri peluang kepada golongan muda yang lebih bertenaga untuk diangkat sebagai calon," katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran di kediamannya di Umbai, di sini, hari ini.

Ahmad, 74, pertama kali dipilih sebagai calon mewakili BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Serkam dan dicalonkan semula pada PRU 1999 dan 2004.

Pada PRU 2008, beliau dicalonkan pula di kerusi Parlimen Jasin selama tiga penggal sehingga PRU-14 lalu.

Pada PRU lalu, beliau menang dengan majoriti 219 undi selepas memperoleh 26,560 undi, menewaskan pencabarnya, Datuk Seri Khairudin Abu Hasan dari PKR yang mendapat 26,341 undi dan Abd Alim Shapie (Pas) 8,860 undi.

Ahmad berterima kasih kepada beberapa Perdana Menteri termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberikan kepercayaan kepadanya sebagai calon dan wakil rakyat BN selama enam penggal itu.

Justeru, beliau berharap calon pengganti di Parlimen Jasin dalam kalangan individu yang mempunyai kewibawaan kepemimpinan serta pengalaman di samping memenuhi kriteria WALI iaitu winnability' (boleh menang), acceptibility' (kebolehterimaan) dan `likeability' (disenangi).

"Saya yakin pucuk kepemimpinan Umno akan melihat bukan saja kepada ketokohan bahkan semua aspek yang bercirikan konsep WALI.

"Saya mahu calon yang terpilih mewakili BN di Parlimen Jasin pada PRU-15 nanti adalah daripada kalangan mereka yang benar-benar terbukti mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 4:37 PM