ADHAM. FOTO BERNAMA
ADHAM. FOTO BERNAMA
Izz Laily Hussein

Kota Tinggi: Barisan Nasional (BN) Parlimen Tenggara menyatakan kebimbangan jika penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Dr Adham Baba tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Perkara itu sekali gus dibimbangi akan menggugat kemenangan BN di kawasan itu pada pilihan raya kali ini.

Timbalan Pengarah BN Tenggara Nasaruddin Ahmad berkata, mereka hanya mahukan Dr Adham sahaja sebagai calon dan kemudiannya terus diangkat semula sebagai Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.

Menurutnya, BN Tenggara hanya menyokong satu calon sahaja iaitu Ketua Bahagian Umno Tenggara terbabit berdasarkan khidmat bakti dan kesungguhan figura itu mewakili suara rakyat Parlimen Tenggara dan membawa pembangunan sepanjang dua penggal bergelar Ahli Parlimen Tenggara.

"Kami mahukan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan mencurahkan baktinya kepada kami.

"Dr Adham adalah calon WALI (winnability boleh menang, aceptibility, kebolehterimaan dan likeability, disenangi) kami dan beliau sudah buktikan selama jadi Ahli Parlimen di sini, kemudian dinobatkan sebagai Menteri dan beliau menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

"Kami sebulat suara dan menyokong sepenuhnya untuk bawa satu nama sahaja iaitu Dr Adham sebagai calon Ahli Parlimen Tenggara.

"Saya juga amat risau sekiranya beliau tidak tercalon, ia akan menggugat kemenangan BN di Parlimen Tenggara kerana di Tenggara rata-rata sudah kenal beliau sebagai wakil rakyat yang prihatin dengan semua bangsa dan memberi bantuan tanpa membezakan warna kulit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada ketika sidang media tanda solidariti bersama Dr Adham di Pejabat Umno Bahagian Tenggara di sini, hari ini.

Jika diimbau kembali, Nasaruddin berkata, Dr Adham adalah antara lapan Ahli Parlimen BN yang memenangi kerusi pada PRU-14, walaupun tsunami politik berlaku pada ketika itu.

Katanya, kemenangan Dr Adham dengan majoriti besar bukti rakyat melihat bagaimana Dr Adham menabur khidmat bakti tanpa henti di kawasan itu.

Beliau berharap, kepimpinan tertinggi BN khususnya Umno memandang serius permintaan BN Parlimen Tenggara untuk meletakkan Dr Adham sebagai calon kerusi Parlimen itu.

"Kami sebulat suara bawa satu nama sahaja di Parlimen Tenggara. Kami harapkan pihak atasan BN Malaysia dan Umno Malaysia lihat perkara ini.

"Inilah suara kami bukan atas dasar melobi tetapi ia sudah dibuktikan bahawa Dr Adham layak menjadi pemimpin kami dan layak dicalonkan.

"Saya amat bimbang sekiranya pengumuman calon malam ini, nama Dr Adham tiada dalam senarai, kita risau akan ada malapetaka lebih besar di Parlimen Tenggara.

"Kami akan berusaha bawa suara kami ke peringkat atasan untuk pastikan Dr Adham tetap menjadi calon," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 4:38 PM