Siti Rohana Idris


Rantau Panjang: Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, bersedia memberi peluang kepada calon muka baharu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Menurutnya, masanya sudah tiba untuk dirinya berundur memandangkan sudah hampir enam penggal beliau bergelar wakil rakyat dan memegang pelbagai jawatan sama ada dalam kerajaan negeri atau persekutuan.

"Saya sudah bersedia memberi laluan kepada mereka yang lebih bertenaga, dulu sudah jadi wakil rakyat (selama) 35 tahun, sudah bertahan sehingga enam penggal, berilah peluang kepada orang muda.

"Dah lama saya bersedia (untuk) berundur. Tak ada hal kalau tak dicalonkan, saya sudah sampai kepada klimaks.

"Pemimpin ni, salah satu sama ada dia sudah nampak 'exit door' (pintu keluar), dia pergi atau orang tunjuk 'exit door'. Biar saya pergi dan nampak 'exit door," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) mengadakan lawatan ke tapak projek tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Pada PRU-14 lalu, Abdul Latiff yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu berjaya memenangi kerusi Parlimen Mersing dengan memperoleh 19,806 undi, menewaskan dua pencabarnya dari parti PAS dan PKR.

DATUK Dr Abd Latiff Ahmad. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
DATUK Dr Abd Latiff Ahmad. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Ketika ditanya sama ada bimbang berdepan dengan kekalahan jika nama beliau dicalonkan, Abd Latiff berkata, itu bukan isu utama sebaliknya Mersing mempunyai ramai bakat baharu dan perlu bersaing secara sihat.

Menurutnya lagi, walaupun tidak akan bergelar wakil rakyat nanti, perjuangannya dalam arena politik tetap diteruskan dan bersedia membantu mana-mana calon Perikatan Nasional (PN) seluruh negara.

"Itu tak boleh baca hati orang tapi yang penting Mersing sudah terbukti mempunyai ramai bakat, itu semua anak buah saya juga jadi kalau ada pertandingan, bertanding secara sihat.

"Kerusi Mersing adalah kerusi kontroversi jadi calonnya mestilah daripada parti BERSATU juga.

"Saya akan teruskan (berpolitik) kerana politik adalah perjuangan, kita percaya kepada wadah perjuangan dan saya akan bantu mana-mana calon PN seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:14 PM