PEKERJA di kedai Mohamat Embong sedang menyusun sayur yang dijual di Pasar Cabang Tiga. FOTO Faizul Azlan Razak
PEKERJA di kedai Mohamat Embong sedang menyusun sayur yang dijual di Pasar Cabang Tiga. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Peniaga sayuran di Pasar Cabang Tiga di sini, kecewa dan menyangkal dakwaan kononnya mereka mengambil kesempatan menjual dengan harga yang mahal kepada pengguna.

Dakwaan itu juga sekali gus melabelkan peniaga sayur di pasar berkenaan terbabit menjual dengan harga tidak masuk akal memberi tanggapan negatif kepada orang ramai.

Tinjauan Harian Metro terhadap beberapa peniaga sayur di pasar itu terkejut dengan dakwaan yang dilemparkan sedangkan mereka menjual bekalan itu dengan harga yang berpatutan.

Seorang peniaga, Mohamat Embong, 73, berkata, dia setakat masih mampu menjual harga rendah kepada pembeli walaupun mendapat bekalan pembekal dari luar Terengganu.

Menurutnya, dia menjual sawi dengan harga RM4 sekilogram, kailan (RM6/kg), sawi manis (RM4/kg), sawi putih (RM4/kg), timun (RM3/kg), salad bulat (RM6), salad (RM6/kg, kacang panjang (RM5/kg, tomato (RM4/kg), lada besar (RM12/kg) dan lada kecil (RM18/kg).

"Harga yang saya jual ini harga runcit dan jika pembeli mahu membeli secara borong, kita tolak dengan harga borong...mereka akan dapat harga murah lagi.

"Jadi, macam mana boleh kata peniaga di pasar ini menjual harga mahal. Saya jelas kecewa dengan dakwaan ini sedikit-sebanyak menakutkan pembeli untuk datang ke pasar ini.

"Saya tidak nafikan mungkin ada dalam kalangan peniaga terpaksa menaikkan sedikit harga selepas mereka mendapat bekalan dengan modal yang tinggi daripada pembekal," katanya yang ditemui di pasar itu.

Dia yang sudah lebih 30 tahun berniaga sayur berkata, peniaga di pasar ini sering dipantau pihak pemantau harga dan tidak sesuka hati untuk menjual dengan harga kepada pembeli.

Seorang lagi peniaga sayur, Hidayu Harun, 29, berkata, dia tidak mempunyai sebab untuk menaikkan harga kepada pelanggannya kerana mendapatkan bekalan dengan harga rendah dari pembekal.

"Setakat ini, harga yang saya terima daripada pembekal masih rendah dan dapat menjual kepada pelanggan kami juga mengikut harga berpatutan, bukannya bertindak sesuka hati menaikkan harga," katanya yang tinggal di Kampung Manir.

Sementara itu, seorang pembeli, Yasmin Yusof, 37, berkata, dia setiap hari mendapatkan bekalan sayuran di pasar itu untuk kegunaan di kedai makannya di bandar raya itu.

"Memang setiap hari saya datang membeli sayur di pasar ini dan bagi saya bukan saja dapat harga murah, tapi yang penting kesegaran dan kualiti sayur itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 3:01 PM