FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan Vientiane berjaya menyelamat dan menghantar pulang 21 lagi individu tempatan yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja dan Laos.

KLN dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan lapan mangsa dari Kemboja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) jam 4.50 petang tadi yang disambut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

"Enam lagi mangsa dari negara itu dijangka tiba jam 11.50 malam ini. Selain itu, seramai tujuh mangsa dari Laos juga sudah tiba di KLIA jam 7.50 malam tadi.

"Kesemua mereka diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses siasatan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, seramai 273 mangsa tempatan berjaya diselamatkan sehingga semalam.

"Daripada jumlah itu, 213 individu sudah dihantar pulang dengan bakinya seramai 60 individu lagi masih ditahan di depoh tahanan imigresen sementara menunggu proses pengusiran.

"KLN sekali lagi ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kemboja dan Laos atas kerjasama dan komitmen dalam membantu mengesan serta menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini," katanya.

Tambah beliau lagi, KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand dengan kerjasama Kedutaan Besar negara-negara berkenaan di Kuala Lumpur akan terus komited dalam usaha

menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

"KLN juga ingin menasihatkan mana-mana pihak yang ingin membuat kenyataan mengenai isu ini supaya menyampaikan kenyataan itu secara rasmi kepada pihak PDRM bagi membantu siasatan.

"Ini adalah penting bagi mengelakkan kenyataan yang tidak sahih dan disensasikan disampaikan kepada umum sekali gus mendatangkan kegusaran serta panik kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 9:24 PM