Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan (kanan) bersama lima orang mangsa penipuan kerja di Thailand, ketika sidang media berkenaan kejayaan membawa mereka pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan (kanan) bersama lima orang mangsa penipuan kerja di Thailand, ketika sidang media berkenaan kejayaan membawa mereka pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lima rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Thailand, semalam.

Kementerian Luar (KLN) dalam kenyataan semalam memaklumkan mangsa berkenaan berjaya melarikan diri ke Thailand dan diselamatkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum melalui proses deportasi dan dihantar pulang ke Malaysia.

"Kepulangan mangsa berusia 19 hingga 26 tahun diiringi oleh pegawai daripada KLN dan PDRM yang mengadakan lawatan kerja ke Thailand dari 16 hingga 19 Februari," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand atas kerjasama baik diberikan dalam usaha mengesan serta menyelamat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan itu dan mempercepat proses penghantaran pulang mangsa ke Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Wisma Putra membawa pulang 382 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan di Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

"KLN amat memandang serius akan permasalahan ini dan menggesa orang ramai untuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KLN sekiranya ada antara ahli keluarga yang disyaki menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

"KLN ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan terutamanya yang diterima melalui media sosial, aplikasi mudah alih atau secara dalam talian," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 8:14 AM